Masa untuk Gempak Most Wanted Awards 2024! Ketahui siapa yang menang dan strim LIVE hari ini!
GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024

#GMWA2024: “Ini Merupakan Anugerah Pertama Kami” - Insomniacks Berdebar, Teruja Menanti Keputusan!

Ainun 23/02/2025 | 02:25 MYT

Band popular Insomniacks mengakui mereka sedikit gemuruh menantikan keputusan bagi kategori Muzik Video Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 yang bakal berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad malam ini.

Menurut mereka, ini merupakan pencalonan pertama mereka dalam mana-mana anugerah sejak bergelar anak seni, sekaligus menjadikan momen ini cukup bermakna buat mereka.

"Harapan itu sudah tentu ada, tetapi kami tidak mahu terlalu yakin kerana takut akan kecewa. Apa yang pasti, kami tahu peminat kami, terutama yang berada di Indonesia, telah melakukan yang terbaik untuk memastikan kemenangan kami.

“Kami sangat menghargai setiap usaha mereka dan melihat semua sokongan itu. Harapnya, kami dapat membawa pulang anugerah ini," ujar mereka ketika ditemui Gempak.

Selain menunggu keputusan siapa yang bakal memenangi bagi kategori itu, Insomniacks juga bersiap sedia untuk memberikan persembahan yang istimewa di pentas gah anugerah berprestij ini.

Kata mereka, akan ada sedikit kelainan yang bakal dipersembahkan khas buat peminat yang menonton.
"Kami sebenarnya lebih berdebar untuk membuat persembahan nanti. Sudah tentu ada sesuatu yang istimewa dan berbeza untuk peminat kami," jelas mereka.

Berkongsi tentang kejayaan lagu kolaborasi Belum Mula bersama penyanyi sensasi Indonesia, Nabila Taqiyyah, Insomniacks meluahkan bersyukur kerana kerjasama itu membuka lebih banyak peluang buat mereka.

"Kami setuju apabila dikatakan nama kami semakin dikenali di Indonesia kerana kolaborasi ini. Nabila banyak membantu kami menembusi pasaran di sana, begitu juga kami yang cuba memperkenalkan namanya di Malaysia.

“Kami sangat berterima kasih kerana dia sudi berkolaborasi dengan kami. Selain berbakat besar, dia juga sangat baik dan kami banyak belajar daripadanya," katanya.

Bagaimanapun, Insomniacks tidak akan menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Nabila Taqqiyah lagi atau lebih ramai artis hebat.

Malah, mereka turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri muzik tempatan.

"Buat masa sekarang, tiada perancangan untuk berkolaborasi lagi dengan Nabila, tetapi kami ada berbincang tentang beberapa projek lain. Jika ada rezeki, Insya-Allah kami akan realisasikannya.

"Kalau ditanya tentang artis yang ingin kami kolaborasi, kami memilih Yonnyboii, Ella, dan Noh Salleh. Masing-masing mempunyai identiti muzik yang unik dan pastinya akan memberikan satu pengalaman yang luar biasa buat kami," kongsi mereka.

Gempak Most Wanted Awards 2024

Masih mengekalkan hos tetap program, Amelia Henderson dan Sean Lee, di samping Sherry Alhadad sebagai pengacara.

GMWA 2024 menyinari pentas dengan tema ‘Flex Your Art’, menyeru setiap pencipta kandungan digital untuk meneroka dan menonjolkan keunikan karya menerusi pelbagai medium.
Malam anugerah berprestij ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis terkenal seperti Zizan Razak, Ernie Zakri, Hael Husaini, Amir Masdi, Ara Johari, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Insomniacks, Hujan serta wajah-wajah baharu seperti 53 Universe, Naki dan Najmi Niery.
Juga membuat kejutan adalah persembahan seorang diva terkemuka, Datuk Sheila Majid dan band dari Indonesia iaitu Diskoria.

#Insomniacks #GMWA #2024 #Gempak Most Wanted Awards 2024