GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024
#GMWA2024: Pertama Kali Menang Anugerah, Insomniacks Nak Hantar Trofi Ke Indonesia - "Kami Sendiri Yang Akan ..."
Kumpulan muzik, Insomniacks meluahkan rasa gembira apabila berjaya merangkul anugerah Muzik Video Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024.
Insomniacks yang dianggotai oleh Iqie, Iskandar (pemain bass) dan Danial (gitar ritma) itu cukup bersyukur merangkul anugerah tersebut kerana ia merupakan pengiktirafan pertama selepas hampir 10 tahun dalam industri muzik.
"Ini adalah tahun kesepuluh kami sebagai band dan ini anugerah pertama kami, jadi kami sangat bersyukur dan berterima kasih.
"Kami sangat bersyukur sebab kami nampak usaha mereka dekat telegram group dan sosial media semua untuk dapatkan anugerah ini, kami sangat menghargainya. Terima kasih sangat-sangat," kata Danial mewakili Insomniacks.
Pada masa sama, mereka tidak menolak untuk membuat lebih banyak lagu bersama dengan penyanyi, Nabila Taqiyah pada masa akan datang.
Kata Danial, mereka juga ingin menghantar trofi kemenangan itu ke Indonesia untuk diberikan kepada Nabila sebagai tanda kejayaan bersama.
"Wajib ada lagu bersama lagi selepas ini.
"Anugerah ini untuk dia nanti kami nak pergi hantar sendiri dekat dia nanti," kata mereka ringkas.
Insomniacks berjaya menewaskan pesaing hebat iaitu Puas Sudah (Aina Abdul), Masing-Masing (Ernie Zakri ft Ade Govinda), OMK (Zubir Khan ft Ezra Kairo) dan Classic (Dolla) dalam kategori Muzik Video Tergempak
Acara ini mengekalkan hos tetap program, Amelia Henderson dan Sean Lee, di samping Sherry Alhadad sebagai pengacara.
Malam anugerah berprestij itu dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis terkenal seperti Zizan Razak, Ernie Zakri, Hael Husaini, Amir Masdi, Ara Johari, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Insomniacks, serta wajah-wajah baharu seperti 53 Universe, Naki dan Najmi Niery.
Pentas GMWA 2024 juga akan diwarnai dengan persembahan hebat daripada Hujan, Diskoria dan Datuk Shiela Majid.
GMWA 2024 telah berlangsung secara LIVE pada 23 Februari 2025 dari Auditorium MBSA Shah Alam, eksklusif di saluran Astro Ria (104), On Demand, Astro GO dan sooka.