GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024
#GMWA2024: "Saya Tahu Ada Yang Vote Sampai Guna 19 Emel ..." - Sofea Shra Hargai Peminat, Puas Buat Content Media Sosial
Pempengaruh media sosial, Sofea Shra, meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti menyokong serta mengundinya di Gempak Most Wanted Awards 2024.
Sofea yang berjaya merangkul anugerah Content Creator (Beauty & Fashion) Tergempak itu berkongsi dimana ada pengikut yang membuat 19 email semata-mata untuk mengundinya.
“Saya nak ucap terima kasih sebab undi saya dari awal, dan saya tahu ada seorang ini vote sampai guna 19 email berjumlahkan 1000 undian. Saya tahu ramai lagi yang buat macam tu jadi saya nak ucap terima kasih sangat-sangat sehingga saya sampai ke tahap ini,” katanya.
Sofea turut menyatakan bahawa dia sangat selesa untuk berkongsi tip kecantikan dan fesyen bersama pengikutnya.
Jelasnya, perkara tersebut tidaklah begitu sukar kerana dia suka melakukannya.
“Saya memang enjoy buat benda ni, dan saya rasa dunia content ini tidaklah sesusah seperti kerja diluar sana. Cuma bagi saya sekiranya kita enjoy buat kerja itu maka apa yang kita buat akan jadi senang,” jelasnya ringkas.
Nama Sofea mula melonjak naik di media sosial TikTok selepas memaparkan dirinya mencipta pelbagai kandungan kreatif merangkumi bidang kecantikan dan fesyen.
Dengan lebih daripada 800,000 pengikut di TikTok dan 400,000 pengikut di Instagram nama Sofea sudah tidak asing lagi di platform maya.
Sofea Shra menewaskan finalis Top 5 terkenal lain seperti Agy, Hawa Johanis, Malia dan Yanna Hassan.
Pada masa sama, gadis berusia 27 tahun itu juga tidak menolak sekiranya mendapat tawaran lakonan.
Bagaimanapun, dia merasakan agak sukar buatnya untuk membawakan watak yang menuntutnya untuk menangis.
“Kalau ada peluang, cerita-cerita yang saya boleh dan sesuai mengapa tidak. Tapi kalau nak suruh saya menangis tu agak susah kalau orang suruh tapi kalau suruh marah itu senang,” katanya berseloroh.
Acara ini mengekalkan hos tetap program, Amelia Henderson dan Sean Lee, di samping Sherry Alhadad sebagai pengacara.
Malam anugerah berprestij itu dimeriahkan dengan persembahan daripada artis-artis terkenal seperti Zizan Razak, Ernie Zakri, Hael Husaini, Amir Masdi, Ara Johari, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Insomniacks, serta wajah-wajah baharu seperti 53 Universe, Naki dan Najmi Niery.
Pentas GMWA 2024 juga akan diwarnai dengan persembahan hebat daripada Hujan, Diskoria dan Datuk Shiela Majid.
GMWA 2024 telah berlangsung secara LIVE pada 23 Februari 2025 dari Auditorium MBSA Shah Alam, eksklusif di saluran Astro Ria (104), On Demand, Astro GO dan sooka.