Penyanyi, Khai Bahar menghargai usaha peminat yang tidak putus-putus mengundi dan memberikan sokongan terhadap dirinya sehingga dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Video Muzik Tergempak di Anugerah Gempak Most Wanted 2023 yang berlangsung pada Ahad.

Lagu Selagi Ku Ada yang memenangi kategori Video Muzik tergempak itu merupakan gandingan Khai bersama penyanyi Nabila Razali.

“Sebenarnya peminat yang jaga saya, sebab mereka sangat memahami saya. Biasalah manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, berasa kesedihan.

“Kami melalui saat suka, duka, gembira bersama. Jadi saya rasa mereka yang menjaga saya. Saya sangat menghargai dan menghormati apa yang mereka beri pada saya. Sebab itu saya sangat sayangkan mereka semua,” katanya ketika ditemui Gempak.

Ketika ditanya sama ada pernah berdepan dengan peminat fanatik, ini jawapan Khai:

“Yang fanatik berlebihan saya rasa tiada, kalau jumpa pun mereka tahu menjaga batas dan kelakuan masing-masing.

“Kebanyakan peminat saya terdiri daripada golongan ibu ibu, yang muda muda pun ada juga. Pelbagai umur.

“Tapi mereka masih lagi menyokong saya, saya sendiri pun tak sangka orang yang sama dari dulu hingga sekarang turut bersama saya termasuklah peminat baharu juga,” jelasnya.

BERITA TRENDING: #GMWA23: Gandingan Duet Khai Bahar & Nabila Razali, Selagi Ku Ada Dinobat Video Muzik Tergempak, Kalahkan Dolla

Terdahulu, Selagi Ku Ada menang dengan undian 50.44 peratus sekaligus mengalahkan empat lagu popular lain iaitu Damello dan Look at This (Dolla), Kudrat (Sekumpulan Orang GilaxNaim Daniel), dan Waktu (Hasif Upin & Ziana Zain).

Lagu ini juga merupakan runut bunyi bagi sebuah drama lakonan Nabila bersama pelakon, Aedy Ashraf.

Lagu hasil ciptaan oleh, penyanyi Amylea itu telah memperoleh sebanyak 2.7 juta tontonan di Youtube.

Untuk info, Anugerah Gempak Most Wanted Awards 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya menyaksikan Anna Jobling dinobatkan sebagai penerima Gempak Most Wanted dengan undian sebanyak 1,549,083.

BERITA TRENDING:
#GMWA23: Raih 1.5 Juta Undian, Gempak Most Wanted Milik Anna Jobling!