GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024
#GMWA24: Rashdan Gagal Tahan Air Mata, Kemenangan Sterk Production Beri Makna - “Tahun Ini Cukup Sepuluh…”
Salah seorang ahli Sterk Production, Rashdan Samsudin gagal menahan air mata selepas kumpulannya diumumkan sebagai pemenang anugerah Program Digital Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 (GMWA 2024).
Jelas Rashdan, kemenangan tersebut merupakan penghargaan paling besar dalam hidupnya bersama ahli Sterk yang lain sepanjang berkecimpung dalam dunia pencipta kandungan.
“Tahun ini cukup sepuluh tahun kami buat content , selepas itu podcasterk ini merupakan saya punya baby dan kami sudah lakukan hampir 7 tahun bersama jadi ini merupakan penghargaan yang paling besar dalam hidup saya dan saya tak sangka boleh menang. Jadi itu yang buat saya sebak,” kata Rashdan.
Sementara itu, Farhan juga menyatakan bahawa mereka tidak sangka berjaya memegang trofi kemenangan tersebut kerana pesaing yang berada dalam Top 5 sangat-sangat hebat.
“Sejujurnya kami meletakkan harapan sepenuhnya kepada undian daripada pengikut kami sebab hanya podcast kami ini tidak mempunyai artis jemputan.
“Kami dulu pun content hanya dekat taman sahaja lepas tu buat podcast, jadi memang tak sangka Alhamdulillah sebab kalau tengok pesaing daripada weekly ke top 5 semua hebat-hebat, jadi ini untuk Gang Sterk,” tambah Farhan.
Pada masa sama, bersempena dengan kemenangan di GMWA 2024, Sterk Production berjanji akan memberikan pengikut mereka vlog perjalanan mereka ke majlis anugerah tersebut.
Sterk Production yang popular dengan kandungan seperti sketsa lawak, vlog dan podcast itu dianggotai oleh Farhan Mazlan, Rashdan Samsudin, Harith Zazman, Fikri Latif , Adib Alexx
dan Mirol Sabirin.
Kemenangan ini diraih menerusi PodcastSTERK: Keputusan SPM 7G, yang menerima undian sebanyak 32.6 peratus, mengalahkan beberapa program podcast lain seperti Confession Bilik Gelap - Aina Abdul (Syok), Dol’s Podcast Ep 5 Part 3 (Shuib Channel), Seram Selebriti - Fadhli Masoot (Ashhrapp Channel) dan Sembang Seram - Janna Nick (Safawi Nazri).
Menariknya, kategori Program Digital Tergempak ini pertama kali dipertandingkan dalam Gempak Most Wanted Awards 2024, menjadikan kemenangan Sterk Production lebih bermakna.