GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024
#GMWA24: Ryan Bakery Gaduh Dengan Isteri Paksa Buat Manifesto, Dedah Kena Buli Siber
Di sebalik kemenangan yang diperoleh pencipta kandungan Ryan Bakery menerusi kategori Digital Content Creator (Entertainment) Tergempak di Gempak Most Wanted Awards 2024 (GMWA24), ada keresahan dan ketakutan yang membuatnya hampir tidak mahu berkempen untuk menang.
Menurut Ryan, jika kerana tidak atas desakan dan pujukan isteri, Elyia Ibrahim, untuk giat berkempen atau melakukan bermacam manifesto, dia barangkali hanya pasrah tanpa berusaha untuk sekurangnya mencuba meraih undi dan kepercayaan daripada peminat.
Dalam keadaan sebak, Ryan, 30, mengaku serangan kata-kata kurang enak seperti tidak lagi relevan dan sering menerima buli siber membuatkan dia takut untuk bertanding atau berharap membawa pulang kemenangan pada GMWA24.
“Kalau mahu diikutkan saya sudah malu (berkempen). Sebab saya pernah kena buli siber dan rasa sudah tidak relevan jadi nak berlebih-lebih atau buat manifesto, saya rasa segan.
“Tapi isteri yakinkan saya. Kami sampai bergaduh hanya kerana perancangan buat manifesto ini sebab saya memang sudah malu.
“Dia kata kalau tidak relevan macam mana saya boleh tercalon sampai ke Top 5. Itu bermaksud ada yang sokong. Jadi dia paksa saya, dia susun semua untuk saya dan yakinkan saya buat manifesto. Saya kembali bangkit dan bersemangat kerana dia,” luah Ryan panjang lebar kepada Gempak.
Malah Ryan turut berterima kasih kepada semua pihak media kerana banyak memainkan peranan dan menyokong manifesto yang dijalankan sebelum pengundian GMWA24 ditutup.
“Paling saya ingin berterima kasih juga kepada media kerana selepas saya lancarkan menifesto, pihak media massa ikut membantu dengan hebahan dan perkara itu banyak membantu kempen saya,” kata Ryan.
Dan pempengaruh yang cukup terkenal dengan panggilan Along ini akhirnya melunaskan janji manifesto iaitu belanja sarapan kepada 150 orang peminat jika dirinya dinobatkan sebagai pemenang.
Bersama tim 3 Pagi Era, Ryan bersarapan di Nasi Kandar Pelita, KLCC sekaligus menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangannya selama ini.
Pada malam GMWA24 yang berlangsung di MBSA, Shah Alam, Ryan menewaskan pesaingnya iaitu Kasih Leona Iris, Acap S, Shah Zakaria, dan Steph Beauty untuk membawa pulang trofi Digital Content Creator (Entertainment) Tergempak.