Sejak beberapa minggu ini hubungan antara Google Inc bersama syarikat pengeluar telefon pintar, Huawei agak tegang.

Semua gara-gara sekatan dilancarkan oleh Google terhadap Huawei yang melarang penggunaan sistem operasi Android serta aplikasi berkaitannya.

Difahamkan sekatan itu ada berkait dengan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China selepas Presiden AS, Donald Trump meletakkan Huawei sebagai syarikat senarai hitam untuk dagangan negara mereka.

Apabila terjadinya masalah ini ramai menjangkakan Huawei bakal mengalami kerugian besar.

Namun berdasarkan laporan TechDator, meskipun keputusan untuk menghalang sebarang dagangan bersama syarikat Huawei dibuat oleh Donald Trump, Google serta syarikat-syarikat lain tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya.

Hasilnya, Google secara purata tahunan bakal kehilangan $425 juta (RM1.78 bilion) berikutan tiada lagi sokongan Android pada telefon pintar terbaru Huawei.

Walau bagaimanapun kerugian ini tidak memberi kesan jangka masa panjang buat Google memandangkan syarikat ini optimis orang ramai akan mula beralih kepada jenama lain yang menggunakan servis Google dan Android.