Penyanyi rap SonaOne menolak dakwaan judul album pertamanya, Growing Up Sucks memberi pengaruh buruk hanya kerana perkataan yang digunakan.

SonaOne atau Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 27, berkata album tersebut mengimbau nostalgia mengenai dirinya.

Menurut SonaOne, album tersebut sangat berharga kerana ia berkisarkan tentang kehidupan peribadinya.

“Saya harap tiada pihak salah faham, Growing Up Sucks hanyalah tajuk album dan bukan pengaruh buruk. Judulnya saja berbunyi begitu tetapi sebenarnya album ini mempunyai banyak mesej positif yang ingin saya sampaikan melalui lirik-lirik yang ditulis sendiri oleh saya.

“Album ini merupakan nostalgia saya di mana ia banyak menceritakan tentang kehidupan peribadi dan pengalaman yang saya lalui sejak berusia 22 tahun hingga sekarang.

“Semuanya saya luahkan dalam album sulung ini dan jika ingin mengenali siapa itu SonaOne, kena dengar album ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai Growing Up Sucks, SonaOne memberitahu dia mengambil masa lebih kurang enam tahun untuk menyiapkan album tersebut.

“Perancangan album ini bermula sejak tahun 2011 dan saya akui ia mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

“Ini kerana saya perlu memilih lagu-lagu yang terbaik untuk dimuatkan dalam album ini lebih-lebih lagi ia adalah album sulung saya.

“Agak sukar untuk membuat pemilihan lagu memandangkan secara keseluruhannya saya ada 30 buah lagu, namun setelah diteliti akhirnya 12 lagu telah dipilih.

“Bukan senang nak buat keputusan, saya perlu fikir dan pilih lagu mengikut kehendak pendengar masa kini,” jelasnya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Growing Up Sucks, No More, Hakeleh, Mama's Boy, Firefly, Sunrise, Cold dan I Dont Want to Die Alone.

Album ini juga tidak akan dijual dalam bentuk fizikal sebaliknya boleh didapati secara digital di iTunes.

Teks Oleh: Mya Amri