,
Laman Utama

#GTheUntoldStory: Cerita Marhaban, Populariti &  Lagu Suci Dalam Debu

Maliah Surip
03/08/2023
01:55 MYT
Temujanji yang diaturkan Ketua Pengarang Astro Gempak, Nik Amri Nik Hassan bersama sekumpulan wanita warga emas yang cukup sohor kini dengan panggilan ‘geng mak cik marhaban’ untuk mengisi secara eksklusif edisi G The Untold Story berjalan lancar.
Mereka bukan calang-calang warga emas. Mereka adalah Kumpulan Marhaban Al-Islah yang video alunan marhaban “Selamat Pengantin Baru Kami Ucapkan(Pengantin Bersanding, R Ismail) ditonton lebih 6.4 juta tontonan di TikTok sehingga membuatkan para ibu dan nenek-nenek ini cukup popular.
Ironi temujanji hanya dibuat menerusi kiriman WhatsApp selepas ‘sesi berbalas pantun’ di kotak pesanan direct messanger (DM) akhirnya dibalas setelah beberapa hari penantian.
Kata sepakat diambil, tim Astro Gempak dialu-alukan hadir ke lokasi atau kampung di mana sekumpulan para wanita berjiwa emas menghidupkan budaya marhaban.
Berdedailah kami penuh teruja ke Kampung Tersusun Kledang Utama, Sungai Siput, Perak dari Kuala Lumpur untuk bertemu empat mata lalu menikmati alunan marhaban daripada Kumpulan Marhaban Al Islah.
Yang luar biasanya, seperti pulang ke kampung disambut ibu dengan meriah, begitulah kami apabila disantuni dengan cukup baik sehingga dihidang pelbagai masakan enak dan ramah tamah penduduk kampung yang ikut ‘bertandang’ dalam majlis yang diadakan di dewan.
Terngiang-ngiang di telinga alunan; “Selamat Pengantin Baru Kami Ucapkan…” dan kalimat tersebut berulang-ulang malah dinyanyikan dengan penuh meriah bersama-sama Kumpulan Marhaban Al Islah sehingga usai pertemuan yang tidak akan terlupakan itu.
Ini kisah Kumpulan Marhaban Al Islah yang belum pernah diceritakan kecuali eksklusif buat G The Untold Story.

Kain Tak Dapat Beli, Kak Yah Diminta Nyanyi Selamat Pengantin Baru

Sejak menjadi terkenal, ada banyak peristiwa aneh, lucu, di luar jangka dan ‘memeningkan’ yang harus dilalui oleh Kumpulan Marhaban Al Islah.
Antaranya tentulah hampir kesemua anggota kumpulan ini menjadi perhatian. Dan salah satu yang paling lucu malah masih membingungkan buat ketua kumpulan marhaban ini iaitu Hajah Sariah Tak adalah bagaimana dirinya perlu berhadapan dengan permintaan ‘peminat’.
“Ada satu kali saya pergi ke pasaraya untuk mencari kain membuat baju marhaban baru yang kami pakai hari ini.
“Nak tahu apa jadi? Saya masuk pasaraya tapi keluar dengan tangan kosong. Sebab sewaktu di dalam pasaraya saya ditahan pengunjung. Mereka minta saya menyanyi lagu ‘Selamat Pengantin Baru’.
“Saya bukan penyanyi, jadi bingung,” cerita Sariah atau mesra dipanggil Kak Yah.
Bercakap mengenai populariti mendadak yang diperoleh, Kak Yah mengatakan semua ini terjadi gara-gara salah seorang anggota mereka iaitu Wah Kamisah Kamarudin, 52.
Wah Kamisah atau mesra digelar Kak Wah, kata Kak Yah lagi sebenarnya telah memuat naik beberapa hantaran berkaitan aktiviti marhaban mereka namun entah macam mana video saat mereka mengalunkan marhaban untuk pasangan pengantin baharu yang mencuri perhatian warga media sosial.
“Kalau tanya saya, saya memang tak tahu fasal media sosial. Tik Tok pun saya tiada tapi Wah yang muat naik video kami di sebuah majlis buat marhaban nyanyi lagu selamat pengantin baru. Tiba-tiba jadi popular,” kenangnya sambil tersenyum simpul.
Sementara itu Kak Wah dengan senyum manisnya mengaku memuat naik video tersebut hanya untuk mengemas kini aktiviti kumpulan tersebut.
“Sebenarnya sebelum ini ada juga saya muat naik aktiviti kami tapi video kami marhaban lagu selamat pengantin baharu ini yang dapat perhatian. Mungkin kerana ini pertama kali orang melihat kumpulan marhaban nyanyi lagu pengantin baharu,” ujar Kak Wah.

“Ada Ke Marhaban Nyanyi Lagu Suci Dalam Debu” - Kak Yah

Perbualan kami mengalir kepada bagaimana kumpulan marhaban tersebut ditubuhkan.
Menurut pengasasnya, kumpulan marhaban tersebut telah ditubuhkan sejak 30 tahun lalu. Ada kisah menarik di sebalik penubuhan Kumpulan Marhaban Al Islah.
Nama Al Islah diambil sempena maksudnya yang bererti membimbing atau mengembalikan sesuatu kepada keadaan yang betul.
“Saya lahir dalam keluarga dengan kebanyakan pakcik ikut marhaban atau selawat.
“Satu hari saya jemput kumpulan marhaban ke rumah untuk melagukan marhaban dalam majlis sambut bayi.
“Tapi saya dengar mereka nyanyi “Engkau bagai air yang jernih, di dalam bekas yang berdebu…”(lagu Iklim, Suci Dalam Debu). Jadi saya fikir kenapa lagu seperti ini dilantunkan untuk bayi yang baru lahir?
“Di mana selawat dan nasihatnya? Sejak itu saya tekad tubuhkan kumpulan marhaban dengan mengupah guru marhaban datang mengajar di kampung kami.
“Dan sejak 30 tahun lalu kumpulan ini pun tertubuh. Sebenarnya sehingga ke hari ini sudah ramai ahli yang meninggal dunia dan sejak itu ramai yang masuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan,” jelas Kak Yah.

Lagu Pengantin Bersanding

Berbicara tentang populariti lagu selamat pengantin baru versi kumpulan Marhaban Al Islah, ternyata ia bukan diambil atau diubah untuk disesuaikan dengan suasana dan cara melantunkan marhaban.
Sebaliknya lagu tersebut digubah semula oleh Kak Yah dari lagu asal Pengantin Bersanding (R. Ismail).
“Lagu tersebut adalah lagu yang dinyanyikan semula oleh Kak Yah. Ia juga memang dinyanyikan khas untuk majlis perkahwinan,” cerita Salah seorang anggota lain, Raziah Teh Ishak, 75.

Tak Jawab Panggilan, Balas WhatsApp Takut Kena Scam

Populariti yang dikecapi kumpulan marhaban ini membuatkan mereka tidak lagi hanya menerima panggilan telefon dalam kalangan keluarga dan sahabat tetapi juga daripada individu yang tidak dikenali.
Raziah mengaku sejak viral mereka menerima banyak panggilan dan permintaan di WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali.
Kebanyakannya menghubungi nombor telefon milik Kak Yah kerana beliau merupakan ketua kumpulan namun warga emas tersebut memilih untuk tidak menjawabnya.
Selain mengaku tidak tahu mahu menjawab atau membalas permintaan, satu hal ini membuatkan mereka sentiasa berjaga-jaga.
“Memang banyak nombor yang tidak dikenali telefon atau hubungi nombor Kak Yah. Tapi dia cakap pada saya tidak mahu jawab sebab tidak tahu apa nak cakap, dia tidak biasa.
“Lagipun terus terang kami kata, kami juga takut kalau yang telefon itu scammer, penipu. Sebab itu kami tidak angkat,” kata Raziah sambil ketawa.

Anggota Marhaban Mantan Guru Besar, Isteri Polis Sampai Ustazah

Mahu mengenali dengan lebih dekat setiap seorang anggota Marhaban Al Islah, kami diperkenalkan dengan ke-16 orang mereka.
Anggota yang paling tua berusia 76 tahun sementara termuda pula 45 tahun.
Mereka adalah Rogayah Yusuf (75), Noraini Yahaya (62), Suhana Mat Ariffin (45) Wah Kamisah Kamarudin (52), Hajjah Habsah Abu Bakar (75), Siti Mariam Syed Nordin (72), Che Yam Saad (73), Hajah Sariah Tak (75), Raziah Teh Ishak (75), Hajah Baidah Ramlus (65), Hajah Wagiam Radimin (70), Hajah Wahidah (60), Arsiah Tumi (75), Ramlah Hashim (68), Salmah Mat Din (68) dan Sawiyah Mohd Abdul Jabar (76).
Bukan suri rumah biasa, sebaliknya ada dalam kalangan mereka merupakan pesara kerajaan seperti guru besar, guru sehingga ustazah. Malah ada yang merupakan ibu tunggal yang mahu mengisi masa lapang dengan menyertai kumpulan marhaban ini demi berkongsi manfaat.
Bercakap tentang cara komunikasi, mereka memberitahu akan berhubung menerusi grup WhatsApp untuk mendapatkan informasi.
“Tentang bayarannya pula biasa bergantung kepada tuan rumah. Apa yang tuan rumah isi dalam beg yang diberi kepada kami misalnya, itulah yang kami terima.
“Tapi jika dijemput mengadakan persembahan jauh, pihak yang menjemput akan sediakan duit tambang dan beberapa kos lain,” kata mereka beramai-ramai.

Marhaban Mendidik, Sampaikan Pesan Baik

Kak Yah kemudian memberitahu penubuhan kumpulan marhaban tersebut bukan untuk meraih populariti sebaliknya selain menyambung tradisi yang pernah wujud dalam kalangan nenek moyang kita, hal yang paling penting adalah untuk menyampaikan mesej dan pesan baik yang ada dalam lagu-lagu marhaban.
“Kami ada 30 lagu marhaban. Ada selawat, ada lagu Arab, ada lagu untuk majlis sambut kelahiran bayi, untuk majlis khatam Al Quran atau majlis perkahwinan.
“Jadi kesemua lagu-lagu ini sebenarnya adalah pesanan dan titip nasihat yang mendidik kepada semua,” katanya.
Lebih daripada itu ada harapan besar yang dititip oleh Kak Yah. Beliau mahu kumpulan marhaban terus bersemarak dan disantuni walau siapa atau di mana pun ia ditubuhkan.
“Pengetahuan ini perlu diteruskan agar generasi pada masa akan datang telah mendengar perkara atau pesanan yang mendidik juga baik-baik sejak mereka kecil misalnya.
“Ini tujuan Kumpulan Marhaban Al Islah ditubuhkan. Kami mahu mendidik dan sayang jika ia tidak diperjuang atau disambung oleh generasi baharu,” kata Kak Yah.
Tonton kembali ulangan temubual khas bersama Kumpulan Marhaban Al Islah, Kampung Tersusun di Gempak Most Wanted di www.gempak.com dan saluran YouTube Gempak. Gempak Most Wanted bersiaran setiap hari Rabu pukul 11 malam di Astro Ria.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Viral

Jofliam Tegur Cik Epal, Minta Jaga Maruah Ketika Tempoh Iddah - "Sejak Cerai, Tinggalkan Anak, Tak Tahu Pergi Mana"

gempak
14/10/2024
04:30 MYT
Pempengaruh dan usahawan, Jofliam tampil menegur tindakan bekas isterinya, Cik Epal agar menghormati tempoh iddah.
Viral

Alice Chang Sorok Identiti, Cuba Nasib Kerja Di Kedai Aiskrim Lepas Dipecat Cium Doh Roti

gempak
14/10/2024
01:55 MYT
Nama Alice Chang kembali menjadi sebutan apabila dia tidak berputus asa untuk mencuba nasib menjadi pekerjaan baharu di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Viral

Hilang 20 Tahun, Tangan & Kepala Ditemui Beku Dalam Peti Sejuk

gempak
13/10/2024
13:22 MYT
Penemuan tangan dan kepala di dalam ruangan beku peti sejuk di sebuah kediaman di Colorado, Amerika Syarikat merungkai misteri kehilangan seorang gadis 20 tahun lalu.
Viral

Suami Wanita Langgar Pelajar UiTM Dungun Mohon Maaf - "Saya Menangis, Sangat Sedih"

gempak
13/10/2024
11:42 MYT
"Saya menangis dan sangat sedih melihat kemalangan itu. Saya mewakili isteri ingin memohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit," kata Azhar Ahmad, 53.
Hiburan

Kelas Tahanan Cikgu Hiragi Dapat Sambutan Hebat Dari Indonesia - "Pemainnya Fresh, Musiknya Keren"

gempak
13/10/2024
08:59 MYT
Selepas enam episod bersiaran di saluran Astro Ria, platform Astro Go dan sooka, drama adaptasi Jepun, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi turut menambat hati penonton dari negara jiran, Indonesia.
BorakSeeni