Pelawak dan penyampai radio Issey Fazlisham menganggap Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini paling takut untuk disambut.

Kata Issey, ini merupakan kali pertama dia menyambut tanpa arwah ibunya, Asiah Haron yang meninggal dunia pada 23 Julai tahun lalu.

BACA: Ibu Issey Meninggal Dunia Kerana Serangan Jantung

"Sebenarnya itu yang saya paling takut sekali. Emosi nak beraya tanpa ibu di sisi. Tak pernah lagi beraya tanpa arwah ibu, ini adalah kali pertama saya merasainya.

"Dengan situasi sekarang ini yang berjauhan, tak dapat pulak untuk pulang ke kampung selagi wabak Covid-19 belum pulih sepenuhnya.

"Memang mengalir air mata di pagi raya. Apapun, saya cuba untuk kawal emosi dan terus kuat," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah pemilik nama Fazlisham Mat Hussin, 33, menyatakan dia sempat pulang untuk menziarahi pusara arwah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Seminggu sebelum PKP, saya ada pulang ke Kelantan dan sempat ziarah kubur arwah. Itu la kali terakhir.

"Kiranya dah lama juga tak balik sebab sebelum ini kalau ada masa terluang saya akan kerap pulang," katanya lagi.