Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

"Gugur Jantung Apabila Diberitahu Saya Kini..." - Shima

Zulaikha Yusof 18/07/2019 | 03:01 MYT
Penyanyi yang popular 1990-an, Shima akui sedih apabila diberitahu pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) status kehidupannya tergolong dalam golongan asnaf.
Menurut Shima, walaupun hiba perasaannya namun dia sudah boleh merasakan perkara itu kerana keadaan kewangan yang semakin susut.
"Gugur jantung apabila diberitahu saya kini dikategorikan sebagai golongan asnaf.
"Malah mereka memohon maaf kepada saya terlebih dahulu sebelum menyebut perkataan itu.
"Tidak dinafikan hiba juga mendengarnya tapi apa nak buat kerana ini kenyataan yang perlu saya terima.
"Saya sudah boleh agak kerana keadaan kewangan makin hari makin berkurangan," katanya kepada Gempak.
Penyanyi yang popular dengan lagu Teringin itu menderita sakit saraf serta sakit belakang dan terbaru, menghidap sakit lemah pundi kencing.
Pemilik nama Ku Nazhatul Shima ini juga akui kehidupannya makin sukar disebabkan keadaan kesihatan semakin serius.
"Makin lama kehidupan makin sukar kerana masalah sakit belakang semakin serius membuatkan saya terpaksa berehat seketika daripada berniaga.
"Doktor juga menasihatkan saya supaya tidak lagi berniaga kerana memerlukan pergerakan yang banyak.
"Untuk sembuh memang mustahil dan kalau buat pembedahan risikonya 50:50.
"Wang simpanan saya ketika berniaga terpaksa dikeluarkan untuk tujuan perubatan dan lain-lain kegunaan.
"Saya perlukan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk tujuan perubatan, manakala sewa rumah pula RM600.
"Saya berhasrat untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan berharap ada mana-mana pihak tampil untuk membantu," katanya lagi.
Pada era 1990-an, Shima terkenal dengan rangkaian lagu seperti Di Sebalik Sejuta Wajah, Setelah Aku Kau Miliki, Luka Dilukai dan Malam Yang Pasrah.
#Penyanyi #Penyanyi #Shima
;