Rangkaian sebuah restoran yang didakwa menggunakan daging babi dalam makanan mereka hari ini tampil menafikan perkara tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, OldTown White Coffee juga menegaskan tuduhan dalam video yang tular di sosial media itu juga sama sekali tidak benar.

“Kami memberi jaminan kepada pengguna bahawa semua premis kami telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada pihak berkuasa sejak 2010.

“Perniagaan kami amat mengambil serius tentang peraturan serta persijilan Halal dan memastikan semua bahawa bahan di dalam makanan dan minuman tidak mengandungi daging babi atau elemen tidak halal,” kata pengurusan premis tersebut.

Kata kenyataan itu lagi, wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah datang ke premis berkenaan untuk membuat pemeriksaan berkaitan tuduhan tersebut dan telah mengesahkan bahawa ia tidak benar.

Pengguna juga diminta merujuk kenyataan Jakim yang telah mengesahkan bahawa tuduhan tersebut palsu.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan berkata, semakan pihaknya mendapati premis makanan itu adalah pemegang SPHM dikeluarkan Jakim.

"Perlu difahami bahawa premis makanan yang memiliki SPHM bermaksud seluruh rantaian halalnya sudah disemak dan disahkan oleh pihak berautoriti.

"Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga mengunjungi cawangan Oldtown White Coffee berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengesahkan dakwaan yang tular tidak benar," kata kenyataan itu.

Terdahulu, satu video tular di media sosial yang mendakwa mi kari premis terbabit tidak halal kerana menggunakan daging babi dalam kandungan makanan itu.

BACA: Restoran Terkenal Subang Jaya Didakwa Hidang Mi Kari Dengan Daging Babi?