Penyanyi Shiha Zikir menjelaskan sebab mengapa khidmat model lelaki sasa yang tampil separa bogel digunakan dalam muzik video terbarunya yang berjudul Pipiyama.

Menurut Shiha, muzik video tersebut ingin menunjukkan perbezaan antara lelaki bujang dan duda, bersesuaian dengan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu Pipiyama.

Menampilkan irama dangdut, single Pipiyama merupakan hasil nukilan komposer dan penulis lirik dari Indonesia, Atra Petrana.

"Selalunya, lelaki bujang sering dikaitkan dengan fizikal dan rupa paras yang kacak.

"Manakala, lelaki yang berkahwin atau berstatus duda sering digambarkan mempunyai penampilan yang kurang segak tetapi mereka banyak wang.

"Bagi saya, apa yang ditampilkan dalam muzik video Pipiyama adalah sesatu persepsi yang normal," kata Shiha.


Dalam pada itu, Shiha bersyukur kerana percubaannya tampil dengan lagu dangdut mendapat respon baik.

"Alhamdulillah, saya mendapat maklum balas positif. Saya berharap lagu ini akan mendapat tempat di hati peminat Indonesia dan Malaysia," katanya lagi.

Muzik video Pipiyama baru sahaja dilancarkan di laman YouTube Shiha Zikir dan telah mendapat 50,000 tontonan.