Kecoh di platform TikTok apabila muncul beberapa video tentang seorang wanita yang menggelarkannya sebagai perawat makrifat dan srikandi ghaib.

Video wanita tersebut tular apabila dia mendakwa mampu mengubat gangguan sihir dan angin ahmar akibat perbuatan jin.

Namun, apa yang menimbulkan syak orang ramai adalah cara dan kaedah ‘srikandi’ ini merawat.

Kebanyakan video yang dimuat naik seakan pelik dan aneh, sekali gus menimbulkan rasa tidak disenangi kebanyakan netizen.

Ada video membuka mata ghaib, gerakan ghaib, dan tidak kurang juga ada juga video dimana dia mampu ‘pergi’ ke Mekah dengan hanya memejamkan mata.

Video berkenaan juga bukan hanya dikecam oleh kebanyakan netizen, malah turut mendapat perhatian pelakon Fendy Bakri yang menempelak tindakan ‘perawat makrifat’ tersebut.

Menerusi posting terbaru di Instagram, Fendy meminta orang ramai supaya membuat laporan terhadap wanita itu agar tiada yang taksub dengan segala kepercayaan yang ada.

“Nak marketing tak salah pun, nak gimik sekali pun, tak ada salahnya asalkan tidak bercanggah dari sisi agama kita.

“Masing-masing ada idea dan cara. Jangan pula claim dapat ilmu makrifat dapat petunjuk Allah, boleh sembang dengan roh bidadari dekat syurga.

“Ini hari guna lagu Mawi, guna lagu Asmaradana untuk panggil bunian masuk.

“Sikit hari lagi guna plak lagu ‘Bobo di Mana’ kalau nak jin kuat sikit guna lagu wing takpun Search.

“Jika terjumpa mohon report pada yang mengikut tu sudah la taksub,” katanya.

Selain Fendy, ramai juga netizen di ruang komen meminta supaya Jabatan Agama Islam mengambil tindakan dan menyelidik kandungan video yang dimuat naik.

Rata-rata mereka tidak mahu platform media sosial dijadikan sebagai saluran menyebarkan dakyah dan fahaman tidak betul.