Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Guna ‘Surat Khabar’ Umum Kehamilan, Tya Ariffin Kini Hamil Cahaya Mata Ketiga

Asyikin Mayudin
22/08/2024 03:55 MYT
Pelakon dan usahawan dari Indonesia, Tya Ariffin mengumumkan dia kini sedang hamil cahaya mata ketiga menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

Menerusi perkongsian tersebut, Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandri Arifin menggunakan surat khabar yang tertera tajuk ‘Welcome Little One’.

Manakala suaminya iaitu Asyraf Khalid pula membaca akhbar tertulis baby is on the way! (bayi dalam perjalanan).

Dalam hantaran tersebut, pelakon berusia 30 tahun itu turut meninggalkan kapsyen ringkas meminta peminat meneka berita atau pengumuman yang ingin dikongsi.

“Can you spot the announcement?” tulisnya secara ringkas.

Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah kepada pasangan terbabit.

Malah, Tya juga tidak menafikan bakal terima ahli keluarga baharu dengan membalas ucapan terima kasih.

“Kita memang dah perasan baby bump Tya. masa konsert Tokti.

“Nak baca pengumuman itu tapi perut awak dah beritahu segalanya daripada surat khabar. Alhamdulillah, masya-Allah,” komen beberapa wargamaya.

Untuk rekod, Tya dan Asyraf mendirikan rumah tangga pada 1 November 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Arif Jiwa, 7, dan Azzahra Jiwa, 5.

undefined
#Cahaya Mata #Asyraf Khalid #Tya Ariffin #Anak Kedua #Tya hamil