Skip to main content

Rancangan Realiti

"Gunakan Platform Big Stage Untuk Tonjolkan Kelebihan ..." - Judika

judika_1.jpg
Penyanyi Indonesia, Judika mahu melihat peningkatan daripada para peserta dalam Konsert Akhir Big Stage 2019 pada minggu hadapan.

Jelas Judika platform pertandingan ini sangat baik untuk dijadikan tempat untuk menonjolkan kelebihan masing-masing.

"Sebagai bekas peserta yang pernah menyertai pertandingan, saya menginginkan peningkatan dalam setiap persembahan. Gunakan pentas Big Stage ini untuk tonjolkan kelebihan yang ada. 

"Saya setuju dengan komen Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai penggunaan mata Neeta semasa di atas pentas.

"Awak harus belajar bermain dengan mata untuk penonton hayati dan fahami nyanyian tersebut. Boleh belajar daripada Han-Byul kerana dia adalah raja pentas," katanya kepada Gempak.

Judika ditemu bual selepas tamatnya konsert separuh akhir Big Stage 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Pelantun lagu Setengah Mati Merindu itu turut berpesan supaya menjaga kesihatan bagi mengelakkan mempunyai masalah suara.

"Untuk minggu akhir ini, tolong elak mempunyai masalah suara ataupun jatuh sakit. Jaga kesihatan sebaik mungkin.

"Kesian dengan peminat yang telah berusaha mengundi untuk memastikan anda semua berjaya hingga ke pentas akhir. Jangan kecewakan mereka.

"Sekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada anda berlima kerana telah memberikan usaha sebaik mungkin dalam persembahan.

"Saya doakan kesemua peserta mampu memberikan persembahan yang paling maksima.

"Walaupun tidak menang, yang penting telah memberikan yang terbaik supaya ia menjadi ingatan kepada penonton yang menontonnya," katanya lagi.

Di Pentas Separuh Akhir malam tadi menyaksikan Fieya Julia dan Kucaimars antara peserta terakhir tersingkir sebelum berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Sementara lima peserta yang berjaya mara ke Pentas Akhir Big Stage 2019 adalah Neeta, Han Byul, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata.

Big Stage 2019 minggu ini menampilkan Tam Spider sebagai juri jemputan bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.




Rancangan ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!

Advertisement

Must-Watch Video