Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Gunung Berapi Mula Aktif, Suhu Kutub Utara Suam, Kiamat Iklim 2040? Malaysia Antara Negara Terjejas

Awani
23/08/2022 13:30 MYT
Malaysia menjadi antara negara dunia yang bakal dilanda kiamat iklim, diramal pada tahun 2040, bermakna 18 tahun lagi.

Kenapa kiamat? Benarkah ia begitu mengerikan sehingga dipanggil kiamat?

Menurut Ikon Ais Kutub Utara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, hasil pemerhatiannya semasa beberapa kali ke Kutub Utara dan Antartika mendapati, ais semakin mencair, gunung berapi kini mula aktif di Antartika dan suhu di Kutub Utara pula bukan membeku tetapi hanya suam sahaja.

Jelasnya lagi, semua petunjuk itu adalah kesan daripada pemanasan global yang tidak pernah berlaku tetapi semakin mendekatkan negara dunia, tanpa terkecuali Malaysia kepada iklim paling ekstrem yang beliau panggil 'kiamat iklim'.

"Melihat kepada perkembangan itu semua, berbaki 18 tahun lagi dari sekarang iaitu pada 2040, dunia mungkin alami kiamat iklim yang akan turut sama menjejaskan Malaysia,'' katanya seperti dilapor ASTRO AWANI.

Kata Sharifah Mazlina, ramalan itu bukan sahaja berdasarkan pemerhatiannya semasa di Antartika , tetapi turut disahkan saintis-saintis dunia termasuk dari Rusia dan Amerika Syarikat.

Tambahnya, beberpa kali menjelajah Kutub dan Antartika, melihat dengan mata kepala sendiri, beliau mendapati, banyak bongkah-bongkah ais pecah dan hancur.

"Kedaannya amat mengerikan sekali. Beberapa saintis dunia sebelum ini berkata akan berlaku iklim ekstrem pada 2040 atau 2041.

“Kenapa mereka berkata demikian? Kerana pada 2040, ais di Antartika akan mencair dengan sangat teruk.

“Antartika ini saiznya dua kali ganda Australia, ambil sahaja sebahagian daripadanya, jika mencair pada 2040, apa akan berlaku?

“Ini yang saya panggilkan kiamat iklim. Saintis sudah mengiyakan fakta ini. Antartika tebal air batunya 2.3 kilometer, sekarang, ia 2.5 meter ke bawah.

“Kalau semuanya mencair, apa yang akan berlaku ialah limpahan ombak, tsunami, banjir yang teruk, tanah runtuh dan sebagainya.

"Satu lagi yang mengejutkan ialah semasa berada di pesisir pantai Antartika, ada sebuah gunung berapi yang aktif, di sekelilingnya sudah panas dan tiada langsung salji," jelasnya.

Ditanya jika Malaysia terjejas dengan ramalan kiamat iklim 2040, Mazlina dengan tegas mengakui perkara itu memandangkan pada masa ini sekali pun Malaysia sudah alami musim monsun yang berbeza daripada kebiasaan.

“Sedar atau tidak, banjir sangat kerap berlaku, banyak tempat rendah ditenggelami air. Ini antara petandanya di mana perubahan cuaca yang tidak menentu sekarang berlaku berikutan pemanasan global melampau.

“Lebih-lebih lagi, kedudukan geografi Malaysia di bawah garis Khatulistiwa menyebabkan negara ini berpotensi dilanda kiamat iklim nanti.

"Ini yang saya nak kongsi kepada rakyat Malaysia supaya sedar pemanasan global sudah semakin serius.

“Malah sehari sebelum sampai ke persisiran Antartika itu kita sudah nampak bongkah hanyut ke lautan besar.

“Jadi ini bukan perkara kecil yang boleh dianggap main-main dan perkara serius lebih-lebih lagi Malaysia sudah mengalami musim monsun yang lari kebiasaan seperti banjir dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mazlina turut menekankan kepada rakyat Malaysia mengambil berat isu pemanasan global di negara ini.

Tindakan seperti kitar semula, kurangkan penggunaan plastik dan karbon serta banyakkan penanaman pokok antara langkah kecil yang membawa kesan besar kepada soal pemanasan global.

Sharifah Mazlina, pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) All Women Empowerment To Accelerate (AWETA), ialah wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo.

Terbaharu pada 7 Mac 2022, Mazlina dan pasukannya ke Antartika sekali lagi bagi menyertai misi pelayaran "Climate Force 2041 (CF2041) untuk mengkaji kesan pemanasan global di kawasan itu selama 12 hari.

AWANI

#Malaysia #Pemanasan Global #Antartika #Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir #Kiamat Iklim #Kutub Utara
;