Seorang guru Bahasa Arab sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid Darjah Enam, Jun lalu.

Tertuduh yang merupakan guru sebuah sekolah di Petaling Jaya, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang dipanggil ‘ustaz’ itu didakwa menyentuh kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan cara mencium, meraba dan menggosok kemaluan mangsa bagi maksud seksual.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal itu di sebuah bilik rumah peranginan di Pulau Pangkor antara pukul 10 malam hingga 11 malam pada 28 Jun lalu.

Dia yang masih bujang turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama di bilik sebuah resort berasingan, Pulau Pangkor antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam pada 30 Jun lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang menperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Nabihan Shahrir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Astro Awani