Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
BERITA

Guru Didakwa Berniat Bunuh, Tikam Anak Dengan Pisau

Gempak 15/05/2025 | 04:28 MYT
Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan hari ini atas pertuduhan berniat membunuh dengan menikam anak lelakinya yang berusia 11 tahun menggunakan sebilah pisau di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Asrolfandi Ab. Suki, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat membunuh telah menikam anaknya menggunakan sebilah pisau sehingga mengakibatkan kecederaan.
Perbuatan itu dilakukan di rumahnya di Pohon Tanjung di sini kira-kira pukul 8.55 pagi pada 2 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili penguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon satu laporan lengkap kesihatan tertuduh berikutan terdapat laporan bahawa Asrolfandi mempunyai masalah mental.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta di Perak untuk pemerhatian doktor bagi laporan kesihatan mental selain menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki cedera ditikam bapanya yang dipercayai mengalami gejala kemurungan di rumah mereka di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung di sini pada 2 Mei lalu.
Dalam kejadian itu, suspek telah menikam mangsa yang berusia 11 tahun sebanyak dua kali pada bahagian dada dan sekali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.
#Anak #Bunuh #Kelantan #Guru #Tikam