BERITA

Guru Hantar Pautan Lucah: KPM Tiada Kompromi, Pegang Prinsip ‘You Touch, You Go'

Gempak 19/04/2025 | 06:50 MYT
Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kesalahan seksual termasuk dalam kes seorang guru lelaki di Johor yang ditahan reman kerana disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita baru-baru ini.

You Touch You Go

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa berpegang kepada prinsip 'you touch, you go' seperti yang sering sering dilaungkan sebelum ini, berdasarkan garis panduan serta peraturan sedia ada dalam menangani isu seumpama itu.

"Siasatan sedang kita laksanakan tetapi seperti biasa saya ulang dengan tegas bahawa kita tidak berkompromi terhadap apa sahaja kesalahan khususnya (kes) seksual.
"Kita akan siasat secara menyeluruh dan kita berpegang kepada garis panduan yang sudah pun kita ada dan peraturan-peraturan sedia ada," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan smartboard di Bayan Lepas, semalam.
Mengulas lanjut Fadlina berkata, buat masa ini pihaknya memberi ruang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil KPM.
"Kita bagi dulu ruang untuk siasatan penuh dilaksanakan (kerana) siasatan masih lagi berlangsung jadi, apa sahaja arahan yang terkait rapat dengan garis panduan yang memastikan bahawa tindakan atau sebarang perilaku itu akan kita uruskan mengikut peraturan kita," katanya.
Fadhlina turut menegaskan, KPM sentiasa komited memastikan sebarang bentuk perilaku tidak wajar dalam kalangan warga pendidik ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang.
"Penegasan ini sudah kita buat berulang kali dan akan terus kekalkan ketegasan itu dari semasa ke semasa," katanya.
Pada Rabu lalu, dilaporkan seorang guru lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita.
Suspek ditahan susulan pendedahan dibuat seorang guru wanita di sebuah sekolah menengah di Johor Baharu mengenai tingkah laku tidak senonoh suspek.
Guru wanita itu mendakwa pernah menyaksikan suspek berkelakuan intim dengan beberapa pelajar perempuan selain menerima pautan lucah daripadanya.
Suspek bagaimanapun tampil membela diri dengan membuat hantaran di akaun Facebooknya dan menyatakan tindakan menghantar pautan lucah itu sebagai tidak disengajakan.
Sumber: Harian Metro

#Guru #Lucah #KPM #Tindakan #Kompromi