UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Berita

Guru Kelas Zayn Rayyan Dengar Ismanira Seakan Jerit ‘Ini Salah Mummy’

Gempak 07/02/2025 | 15:55 MYT

“Saya dengar Ismanira seakan menjerit ‘Zayn ini salah mummy'."

Saksi pendakwaan kesembilan, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, mendengar luahan itu ketika hadir untuk memberi sokongan semasa menziarahi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023 lalu.

Semasa perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, guru kelas kanak-kanak autisme ini berkata, ibu mentua Ismanira kemudian menenangkan wanita itu kerana dia kelihatan trauma atas peristiwa yang berlaku.

“Puan Ismanira tak mahu makan dan minum, jadi ketika itulah dia macam menjerit, sehingga menyebabkan saya bersama guru besar terkejut.

“Bagaimanapun, saya anggap perkara itu mungkin disebabkan dia terlalu sedih,” katanya yang berkhidmat sebagai seorang pendidik sejak 2010.

Selain itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, beliau berkata, pihak sekolah telah menyerahkan barang-barang Zayn Rayyan ketika menziarahi kediaman datuk dan neneknya di Subang Bestari.

“Saya ke rumahnya untuk melawat sambil menyerahkan barang-barang Zayn seperti sijil dan gambar graduasi yang diambil lebih awal.

“Kami juga menyerahkan baju, seluar serta lampin pakai buang yang ditinggalkan di sekolah,” katanya.

Pendakwaan: Kenapa baju, seluar serta lampin pakai buang ada di sekolah?

Siti Aminah: Bagi setiap murid pendidikan khas, kami akan minta salinan pakaian itu daripada ibu bapa untuk diletakkan di sekolah di sepanjang tahun, untuk memudahkan urusan pembantu pengurusan murid, sekiranya baju yang dipakai dari rumah, telah kotor.

Pendakwaan: Jadi, pada 5 Disember 2023, adakah Zayn Rayyan memakai lampin pakai buang?

Siti Aminah: Ya.

Pendakwaan: Adakah pembantu pengurusan murid telah menukar lampin pakai buang pada tarikh itu?

Siti Aminah: Seingat saya tiada, sebab Zayn Rayyan jarang membuang air kecil atau besar di sekolah, jadi tiada keperluan untuk tukar pada tarikh itu.

Pendakwaan: Jadi selepas dia pulang pada jam 12.05 tengah hari, 5 Disember, dia pakai lampin pakai buang yang sama?

Siti Aminah: Ya.

Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2.45 petang.

Sumber: Sinar Harian

#Ibu #Guru #Rayyan #Zayn
;