GV9: Berjubah, Pegang Tongkat! Netizen Tak Senang Duduk Tengok Penampilan Asheed... Empunya Diri Buka Mulut!
Asyikin Mayudin
11/10/2022 03:55 MYT
11/10/2022 03:55 MYT
Penampilan peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) iaitu Asheed Def Geb C pada konsert minggu keempat yang berlangsung pada Ahad lalu menerima pelbagai reaksi daripada netizen di laman sosial.
Rata-rata netizen menganggap imej Asheed yang memakai jubah sambil pegang tongkat pada malam itu mengundang kontroversi kerana dilihat seperti jelmaan Jes*s.
“Abang, tolong jelaskan. Mos*s ke Jes*s ke Gh*ndi ke apa?
“Abang Asheed ini sudah rupa Jes*s pula aku tengok… takut la.
“Saya sedang persoalkan tentang pemakaian dan pentas juga,” komen beberapa netizen.
Bagaimanapun, Asheed yang menyampaikan lagu Andai Ku Tahu (Ungu) menjelaskan persembahan itu tiada kaitan dengan agama lain sebaliknya menampilkan konsep khutbah.
“Soal penampilan itu, saya tampil dengan konsep seperti sedang berkhutbah. Lagu ketuhanan, jadi saya pakai mengikut kesesuaian sebab nak mendekatkan diri kepada tuhan.
“Tak ada kena mengena dengan benda lain seperti yang didakwa netizen. Konsep itu pun saya sudah berbincang dengan team dan produksi,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu, Asheed turut meluahkan rasa syukur apabila anaknya yang belajar di MRSM hadir untuk menonton persembahannya pada konsert minggu keempat.
“Saya amat bersyukur sebab anak saya datang untuk tonton persembahan saya. Jadi, pesanan dalam lagu itu memang khas ditujukan kepada dia.
“Kebetulan dia ada pada malam konsert keempat… selalunya dia berada di MRSM,” ujarnya.