GV9: Menang RM100,000, Ini Yang Jaclyn Victor Rancang Dengan Anak-Anak!
Syafiqah Jalal
28/11/2022 00:37 MYT
28/11/2022 00:37 MYT
Penyanyi Jaclyn Victor berhajat untuk memberikan hadiah kemenangannya bernilai RM100,000 sebagai juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) kepada kedua-dua anaknya.
Menurut Jac dia akan membahagikan wang tersebut kepada dua orang anaknya Jonah Joshiah Rivera, 7, dan Molly Marguerite Rivera, 5, sebagai simpanan masa depan.
"Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Segala kepayahan selama 11 minggu ini berbaloi. Apa yang penonton nampak di kaca TV tak semudah yang dibayangkan.
"Dengan hadiah kemenangan ini saya hanya terfikir untuk berikan wang itu kepada dua orang anak saya untuk simpanan masa hadapan.
"Tak terfikir nak beli apa-apa lagi kerana mereka pun setakat ini dah cukup segalanya terutama mainan yang rasanya banyak dah tu.
"Jadi lebih baik duit ini masuk untuk tabungan mereka sahaja kerana sebelum ini pun apa-apa duit saya galakkan untuk mereka menyimpan," katanya kepada Astro Gempak.
Jaclyn ditemui selepas menjuarai GV9 yang berlangsung di Auditorium MBSA malam tadi.
Selain wang tunai, Jaclyn turut menerima hadiah sebuah trofi serta percutian ke Paris.
Jaclyn mendendangkan lagu It's All Coming Back to Me Now nyanyian asal Celine Dion pada pusingan pertama, sebelum membawa lagu The Real Slim Shady dan Sang Saka Biru dalam pusingan rap bersama kumpulan V.E.
Penyanyi lagu Gemilang itu sebelum ini menjuarai empat episod pertandingan tersebut sepanjang 10 minggu lalu.
Tiada perancangan terperinci selepas memenangi pertandincan berkenaan, Jaclyn yang merupakan seorang ibu tunggal itu memberitahu dia hanya mahu bercuti bersama anak-anaknya.
"Selepas ini, saya akan berehat dan bercuti bersama anak-anak kerana mahu luangkan masa lebih kepada mereka.
"Yelah, selama 11 minggu saya di GV9 saya kurang luangkan masa bersama mereka kerana terpaksa melakukan persiapan untuk persembahan," kongsinya.
Jaclyn berpisah dengan suami, Shawn Rivera sejak dua tahun lalu selepas lima tahun hidup bersama.