GV9: “Setiap Minggu Memang Dah Bersedia Kalau Tersingkir” - Pat Candy Tak Yakin Bersaing Dengan Peserta Lebih Hebat
Asyikin Mayudin
16/10/2022 21:55 MYT
16/10/2022 21:55 MYT
Sememangnya sudah bersedia, bintang Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) Pat Candy memberitahu dia akur dengan keputusan tersingkir di konsert minggu kelima yang berlangsung pada malam Ahad.
Menurut Pat, dia berasa rendah diri melihat persembahan dan prestasi peserta GV9 lain yang dianggap lebih bagus daripadanya.
“Bagi saya semuanya terpulang kepada nasib…. Sebab tengok la mereka (peserta) memang hebat-hebat. Saya dah tahu mereka memang di atas, boleh nampak daripada persembahan mereka.
“Ikutkan memang setiap minggu saya rasa akan terkeluar, setiap minggu memang saya dah bersedia kalau tersingkir. Perasaan itu memang tak boleh buang.
“Tapi selagi masih diperlukan di sini, saya tetap akan buat terbaik. Cuma saya tak sangka sampai minggu kelima… ingatkan dah keluar masa minggu kedua,” katanya kepada Gempak.
Langkah Pat Candy terhenti apabila persembahan lagu Babak Pertama yang dibawa secara duet bersama Aepul Drama Band mendapat markah paling rendah iaitu 58.40.
Dalam pada itu, Jaclyn Victor menduduki tempat pertama apabila mendapat markah tertinggi menerusi lagu Cinta duet bersama Aina Abdul nyanyian asal Marsha Milan.
Dengan bertemakan Ku Seru, 10 peserta GV9 diadili oleh juri tetap Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat.
GV9 yang mula bersiaran 18 September dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein sebagai pengacara.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, 000, naib juara pula akan meraih RM50, 000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
Penerbitan ‘GV9’ turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.
Sidang media ‘GV9’ turut dibawakan dari Menara Kuala Lumpur. Selain itu, penganjuran ‘GV9’ juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro GO, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi dan disokong oleh Gegar untuk musim ini.
Eksklusif untuk pelanggan setia Astro, mereka berpeluang untuk menyaksikan ‘GV9’ secara LIVE dengan menjawab tiga soalan mudah di astro.com.my/gv9. 10 pasang tiket sedia untuk dimenangi setiap minggu