GV9: [VIDEO] “Aduh Tak Best Dia Bawa Sumayyah” - Belum Buat Persembahan, Dah Kena Kritik… Ini Komen Bob Yusof
Asyikin Mayudin
13/10/2022 02:00 MYT
13/10/2022 02:00 MYT
Dikritik sebelum membuat persembahan, peserta Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) Bob Yusof mengambil perkara itu secara positif.
Bob beranggapan netizen yang meninggalkan komen mengatakan suaranya tidak sesuai untuk menyanyikan lagu Sumayyah itu sekadar meluahkan pendapat sahaja.
“Tak apa, itu semua pandangan dan pendapat masing-masing. Bagi saya, itu adalah individu dan kita tak boleh nak buat semua orang berpuas hati dengan apa yang kita lakukan.
“Jadi, saya percaya mungkin dia nak tengok saya menyanyi lagu lain. Mungkin lagu itu bagi dia tak mencabar untuk saya. Tak ada masalah untuk komen.
“Saya rasa pendapat itu harus ada juga… macam saya sendiri, akan bertanya pada diri. Saya pun sentiasa terbuka dengan kritikan dan pendapat,” katanya kepada Gempak.
undefined
Sebelum ini, seorang netizen meninggalkan komen di video TikTok Bob mengatakan penyanyi itu tidak sesuai menyanyikan lagu asal nyanyian kumpulan nasyid Hijjaz.
“Aduh tak best la dia ini bawa Sumayyah,” komen netizen itu beberapa hari sebelum konsert minggu keempat GV9 berlangsung.
Biarpun menerima kritikan itu, namun Bob membuktikan persembahannya pada malam itu berjaya memukau juri apabila mendapat markah 80.20 peratus.
Sementara itu, Bob mengakui dia ada membaca kritikan daripada netizen namun memilih untuk mengabaikan komen yang terlalu negatif.
“Saya ada saja baca kritikan dan pendapat orang tentang nyanyian saya. Tapi kalau benda itu virus untuk saya, jadi saya akan abaikan saja.
“Tapi kadang-kadang saya kena baca komen-komen sebegitu. Sebab ia akan membuatkan saya lebih berhati-hati di masa hadapan dan lakukan yang terbaik lagi.
“Bila ada yang kritik atau kecam, mungkin itu kekhilafan dari saya yang tak nampak. Orang yang mengkritik itu mungkin peminat yang nak tengok saya bawa lagu lebih mencabar,” ujarnya.