Laman Utama
GV9: [VIDEO] “Tak Baik Cakap Kita Pakai Ghillie Suit” - Penampilan Shila Amzah Dipuji Tak Seksi, Akui ’Seram’ Menyanyi Lagu Dangdut
Mendapat markah tertinggi pada konsert minggu ketiga Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), penyanyi Shila Amzah mengakui bukan mudah untuk menyanyikan lagu dangdut.
Bersyukur dapat menyelesaikan tugasan pada malam tadi, Shila berkata sepanjang minggu ini dia berasa gementar memikirkan tentang tarian dan baju yang dianggap kalis kecaman.
Shila yang menyanyikan lagu Secangkir Madu Merah memakai baju rekaan Ashraff Zainal yang dilihat seperti pakaian penyamaran penembak hendap iaitu ghillie suit.
“Alhamdulillah untuk semalam. Seram eh kena menyanyi dangdut, nervous gila sepanjang minggu. Dengan nak kena menari, dengan nak kena fikir baju kalis kecaman.
“I love this baju so much. Tak baik ek cakap kita pakai ghillie suit. Yang penting kite menari tak nampak seksi la.
“Tak apa la ghillie suit pun memang she nak camouflage,” kongsi Shila.
Bagaimanapun rata-rata netizen memuji penampilan Shila yang kelihatan masih sopan dan tidak seksi.
Shila Amzah menduduki tempat pertama dengan markah 78.8 peratus sekaligus memenangi anugerah Bintang Memukau Adabi dan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan barangan Adabi bernilai RM500.
Manakala penyanyi Haida Hasnan menjadi peserta kedua tersingkir pada konsert minggu ketiga GV9 yang berlangsung pada malam, Ahad di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Anugerah Juara Next Level Digi untuk minggu kedua dimenangi oleh Fuad Rahman berdasarkan undian peminat menerusi Facebook Astro Gempak dan membawa pulang wang tunai RM1,000.
Tomok pula memenangi Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak berdasarkan undian tertinggi di Facebook Astro Gempak dan membawa pulang sebuah periuk serbaguna bertekanan tinggi Cuckoo bernilai RM2,700.
Dengan bertemakan ‘Pilihanmu, Okay Lock’, 12 peserta GV9 diadili oleh juri tetap Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat.
Musim baharu ini turut membawa semula Nabil Ahmad sebagai hos dan ditemani oleh pelakon serta alumni ‘Gegar Vaganza 3’, Elly Mazlein.