Video seorang warga emas, Rohana Mahfuz, 75, yang rumahnya lesap dihanyut banjir di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini sememangnya meruntun jiwa.

Seperti yang tular di media sosial, rumah wanita berkenaan hanya tinggal tangga bahagian depan, tiada satu tiang pun yang masih berdiri.

Pelakon dan personaliti media sosial Aisar Khaled adalah salah seorang yang terlibat dalam kerja-kerja pasca banjir dengan melakukan aktiviti pembersihan dan menghulur barang keperluan kepada mangsa di Hulu Langat.

Pada masa sama, Aisar juga sempat bertemu Rohana yang tidak kelihatan tertekan dengan dugaan yang menimpa.

"Semoga nenek terus kuat, semoga dipermudahkan segala urusan, nampak tak? Walaupun rumah dah tiada tapi nenek masih kuat dengan senyuman," kata Aisar dalam sebuah video yang dikongsi di Instagram.

Dengan selamba, Rohana menjawab kata-kata Aisar.

"Habis, tak akan lah nenek nak golek-golek menangis, kita kena usaha lah, kirim salam semua kepada ibu bapa," katanya mesra.

Dalam entri sama, Aisar juga berkongsi foto duduk di atas tangga rumah tersebut selain foto dan video lain membantu mereka yang terkesan.

A post shared by ☆ ??????????? ☆ (@aisar_khaledd)


Perkongsian itu mendapat respon positif daripada para pengikut Aisar di ruangan komen, rata-rata mereka memuji usaha murninya dan mendoakan kebaikan buat remaja 21 tahun itu.

Terdahulu, media tempatan melaporkan rumah pusaka didiami Rohana yang merupakan kakak sulung daripada lapan beradik musah dibawa arus banjir.

Rumah yang terletak di Kampung Jawa itu adalah peninggalan arwah ibu bapa mereka dan tersergam indah selama 52 tahun sebelum musnah tanpa diduga.