Hiburan
Habis Terjual Dalam Masa Dua Jam, Siti Nurhaliza Mohon Maaf Tiada Penambahan Tiket Konsert
Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf kerana tiada penambahan hari dan juga tiket bagi konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac 2024.
Menurut Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, dia terpaksa membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai faktor.
“Tidak ada pengumuman baharu hari ini. Saya minta maaf tidak dapat menambah hari dan jualan tiket.
“Kalau saya buat 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai untuk konsert itu.
“Ini saya dan team sudah fikir masak-masak. Sudah cuba untuk pertimbangkan, jadi tak mungkin tambah hari.
“Saya mohon maaf ramai tidak berkesempatan sebab tiket sudah habis dijual.
“Insya-Allah konsert seterusnya saya fikir untuk buat selama dua hari,” jelasnya.
Siti memaklumkan perkara itu semasa sidang media Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di ibu kota pada Isnin.
Dalam masa sama, Siti juga mengumumkan Judika akan menjadi penyanyi undangan pada konsertnya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Saya umumkan penyanyi undangan, dia adalah Judika, sahabat baik saya,” katanya.
Tambah Siti lagi, sebahagian jualan tiket konsertnya itu akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu umat Islam di Palestin.
Terdahulu, pada 21 Disember lalu, jualan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam selepas ia dibuka untuk jualan.
Must-Watch Video