Hadir Ke Sambutan Hari Jadi, Sufian Suhaimi Nafi Jalin Hubungan Istimewa Dengan Instafamous Remaja Arianna Natasha

Amri Hassan
Ogos 27, 2019 10:50 MYT
Penyanyi Sufian Suhaimi menafikan dakwaan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta bersama selebriti media sosial berusia 16 tahun, Arianna Natasha.
Jelas Sufian, 27, hubungan mereka sekadar kenalan rapat dan tidak lebih daripada itu.
"Sebenarnya kami berkenalan menerusi kawan atas kawan dan pada sambutan hari jadinya baru-baru ini keluarganya ada menjemput saya.
"Kebetulan lokasinya berhampiran tempat tinggal saya dan saya pun ada kelapangan jadi saya pergi sajalah.
"Cerita sebegini bukan sesuatu yang baru bagi saya, asam garam kehidupanlah sebagai anak seni," katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran single terbaharu Takkan Merubah di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Sufian lagi, dia lebih selesa seandainya netizen berbicara mengenai kerjaya dan kejayaannya dalam industri.
Khabar angin mengenai hubungan istimewanya dan Arianna muncul apabila penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Matamu itu hadir ke sambutan hari jadi gadis itu beberapa minggu lalu.
Sementara itu, Sufian teruja menantikan maklum balas daripada peminat untuk single duetnya bersama Amira Othman, Takkan Merubah.
"Saya sangat berbesar hati dapat merakamkan duet dengan Amira Othman dan menyimpan harapan sekian lama. Semoga peminat dapat melihat karya ini dalam sudut berbeza dengan lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini," tambahnya.
Single Takkan Merubah merupakan lagu ciptaan Amylea dan Farouk Roman dan akan dimuatkan sebagai runut bunyi filem Motif yang akan ditayangkan pada 26 September depan.
#Sufian Suhaimi #Arianna Natasha