Hadir Untuk Meriahkan Industri Muzik, The Gadys Tidak Mahu Bersaing Dengan Dolla
09/06/2022 12:50 MYT
Sejak kebelakangan ini, industri muzik tempatan dimeriahkan dengan kemunculan pelbagai kumpulan muzik. Tidak keterlaluan dikatakan, kumpulan-kumpulan muzik ini ‘bercambah’ selepas debutnya grup Dolla dua tahun lalu.
Begitupun, kehadiran kumpulan The Gadys dalam industri muzik sedikit pun tidak bertujuan untuk menyaingi mana-mana grup, termasuk Dolla.
Dianggotai oleh Nelissa Nizam, Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Faa Zaini, The Gadys berpendapat bahawa kehadiran mereka hanyalah untuk menambahkan kemeriahan dalam industri.
“Kalau ada yang beranggapan kehadiran kami adalah untuk bersaing dengan mana-mana kumpulan, kami hargai tanggapan itu. Tetapi, ia bukanlah misi dan visi utama kami sebagai The Gadys.
“Kehadiran kami dalam industri adalah sebagai penambah rasa dan mungkin juga sebagai alternatif kepada penggemar muzik tanah air yang inginkan lebih pilihan” kata mereka kepada Gempak.
Dalam pada itu, menurut mereka, The Gadys membawakan konsep yang berbeza dan setiap ahli melengkapi antara satu dengan lain.
“Sungguhpun latar belakang kami berbeza, namun kami melengkapi antara satu dengan lain. Apa yang kami akan bawakan kelak mungkin akan memberi satu kelainan dalam industri muzik,” kata mereka lagi.
Muncul dengan projek pertama mereka, Gadys Raya merupakan sebuah single Aidilfitri, The Gadys memaklumkan single berkenaan mendapat maklum balas positif dalam kalangan pendengar.
Menurut mereka, selepas Gadys Raya, The Gadys bakal muncul dengan single pop kontemporari.