Setelah meraih kejayaan demi kejayaan, penyanyi serta pencipta lagu berbakat besar, Hael Husaini terus mengorak langkah dalam industri muzik dengan pelbagai percaturan baru.

Terbaru, penyanyi ini bergandingan dengan vokalis bersuara unik dari negara jiran Indonesia, Cakra Khan dalam karya terbaru mereka berjudul ‘Terlanjur Cinta’.

Sekitar 2019, wakil Rocketfuel Entertainment telah ke Indonesia bertemu dengan pihak My Music Records untuk menjalin kolaborasi dalam satu karya.

Selepas kedua-dua pihak telah membuat perjanjian, projek pertama antara Hael dan Cakra dilancarkan.

Mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan satu single bagi menjaga kualiti, karya tersebut bersesuaian dengan pendengar Malaysia dan Indonesia.


Terlanjur Cinta merupakan kolaborasi pertama di antara Hael dan Cakra dan ia mengisahkan tentang cinta yang tak terbalas dari seorang lelaki kepada seorang wanita.

Malah ia juga menggambarkan keadaan seseorang yang bertepuk sebelah tangan dalam usaha untuk meraih cinta.

Muzik video Terlanjur Cinta pula adalah hasil buah fikiran salah seorang pengarah ternama Indonesia iaitu Upie Guava.



Dengan bantuan kru produksi dan penyunting yang berpengalaman, beliau telah berjaya menghasilkan satu karya yang amat luar biasa dalam satu jangkamasa yang singkat.

Lagu duet berentak balada ini merupakan hasil nukilan David Sam serta Irwan Sutanto dan dilancarkan di laman YouTube pada 27 Februari 2020 dan akan berada di semua platform digital bermula 28 Februari 2020.