Hiburan
Hael Husaini ‘Jampi’ Minggu Fesyen Milan & Paris 2025, Sebaris Artis Ternama Antarabangsa
Penyanyi dan komposer Hael Husaini mencuri tumpuan apabil membuat kemunculan di di Milan & Paris Fashion Week FW25.
Sebaris Artis Ternama Antarabangsa
Penuh bergaya dan berkarisma, Hael menjadi sorotan di beberapa pertunjukan fesyen jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Emporio Armani, Zegna, Amiri dan juga Kenzo yang rata-ratanya dikuasai oleh kehadiran selebriti terkenal dunia.
Tampil dalam rekaan elegan dan berani, Hael sempat beraksi di hadapan lensa kamera dan media dengan gayanya yang mempesonakan.
Tidak hanya bergaya, dia juga dilihat bergaul mesra bersama selebriti dan pelakon terkenal Korea, antaranya Jung Hae-in, Nam Yoon-su dan Noh Sang-hyun.
Tidak cukup dengan itu, Hael turut berkesempatan menghadiri pertunjukan fesyen jenama Emporio Armani, di mana beliau bertemu dengan pereka fesyen legenda, Giorgio Armani.
“Bertemu dengan Giorgio Armani adalah satu pengalaman yang tidak ternilai. Beliau adalah seorang maestro dalam dunia fesyen yang telah memberi impak besar dalam landskap fesyen antarabangsa. Saya merasa sangat bertuah dapat berjumpa dengannya dan belajar tentang dedikasi serta visi beliau dalam dunia seni," ujar Hael dengan penuh rasa teruja.
Pelantun lagu Diam itu turut melangkah ke pertunjukan fesyen Zegna yang glamor, di mana beliau berpeluang bertemu dengan pelakon Hollywood terkenal, Mads Mikkelsen.
Selepas menawan pentas minggu fesyen Milan, Hael meneruskan momentum di Paris dengan menghadiri pertunjukan fesyen eksklusif jenama mewah Amiri.
Di acara ini, Hael sempat merakamkan momen istimewa bersama personaliti ternama termasuk Ed Westwick (bintang siri Gossip Girl), Sunwoo (The Boyz), Jespipat Tilapornputt dan pelakon terkenal Thailand, Bible Sumetikkul.
Inspirasi Kepada Generasi Muda
Tidak berhenti di situ, Hael terus melangkah bergaya di pertunjukan fesyen Kenzo di mana beliau duduk sebaris dengan ikon fesyen Filipina, Heart Evangelista, dan rapper antarabangsa, NLE Choppa.
Kehadirannya di Milan & Paris Fashion Week FW25 tidak hanya membawa perhatian media fesyen, tetapi juga memberi inspirasi kepada banyak generasi muda untuk mengejar impian mereka dan menampilkan diri dengan keyakinan.
Hael bukan sahaja menjadi contoh kepada artis Malaysia, tetapi juga kepada peminat fesyen global.
“Ini bukan hanya tentang penampilan, tetapi peluang untuk menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai bakat yang boleh bersaing di peringkat dunia, tidak kira dalam muzik atau fesyen,” ujarnya penuh semangat.
Ini merupakan kali keempat Hael dijemput secara ekskusif ke pertunjukan fesyen di Eropah.