Hiburan
Hael Husni Akui Bukan Mudah Bergerak Solo
Penyanyi Hael Husaini akui bukan mudah bergerak solo selepas kumpulan duo Azhael berpecah.
Hael Husaini atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 29, berkata dia kini sedang dalam usaha mencipta nama sebagai penyanyi solo.
"Selama baru dua bulan bergerak solo, saya tidak pernah rasa mudah kerana saya suka cuba benda yang baru.
"Bila mencuba benda baru itu yang menyukarkan diri saya. Sebagai contoh bila begerak solo kali ini saya tampil dengan muzik berbeza dan lebih segar.
"Selain itu, bukan mudah untuk orang kenal saya sebagai Hael Husaini dan saya perlu ambil masa untuk itu.
"Tapi saya tetap mencuba untuk beri dan menghasilkan muzik yang berkualiti untuk peminat," katanya kepada Astro Gempak.
Azhael sebelum ini telah dianggotai seorang lagi penyanyi iaitu Azhar atau Mohd Azhar Osman.
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya solonya, Hael memberitahu dia kini sedang giat mempromosikan single terbarunya.
"Saya baru sahaja tampil dengan single solo berjudul Jampi bulan lalu dan kini saya sedang mempromosikannya.
"Jampi merupakan single pertama saya selepas bergerak solo.
"Single ini ciptaan saya sendiri bersama teman baik Ezra Kong.
"Ia menceritakan mengenai seseorang yang suka memanipulasi orang lain. Saya harap ia bakal diterima baik," katanya lagi.
Mengenai perkembangan lain, Hael bakal mengadakan persembahan Minggu Setiausaha An Intimate Evening with Afgan and The Gandarianz' bersama Afgan di The Royale Chulan Kuala Lumpur, pada 27 April depan.
Teks oleh: Syafiqah Jalal
Must-Watch Video