Hael Tak Sangka Raja Charles III Faham Maksud Lagu Anta Permana - “Bila Disebut Nama Siti, Bangganya Saya Sebagai Rakyat Malaysia”
Penyanyi, Hael Husaini akui terkejut apabila Raja Britain, Raja Charles III memahami maksud lagu Anta Permana nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza walaupun dalam bahasa Melayu.
Terkejut Raja Charles III suka Anta Permana
Bagaimanapun, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 37, percaya Raja Charles III jatuh cinta dengan karyanya selepas diterjemah sama seperti dirinya yang mendengar seleksi lagu pelbagai bahasa dari seluruh dunia.
"Saya terkejut tetapi saya sendiri kadang-kadang banyak dengar lagu-lagu dari pelbagai bahasa. Konsepnya sama sahaja.
"Bila orang luar dengar dan berminat dengan sesuatu karya pasti mereka juga akan mencari maksud di sebalik lirik.
"Mungkin Raja Charles III minat dengan lirik lagu itu yang membawa maksud cinta tiada penghujungnya," ujarnya.
Hael berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sidang Media & Tayangan Perdana Program Raya Astro 2025 di One World Hotel, Petaling Jaya baru-baru ini.
Karya Malaysia mampu cipta sejarah
Dalam pada itu, Hael juga turut berkongsi momen ketika menerima berita gembira tersebut selain yakin karya Malaysia mampu mencipta kejayaan di luar negara.
"Terkejut apabila dapat tahu berita apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tagged (menandai) saya dalam Instagram, sampai macam ini impaknya.
"Ini boleh jadi titik permulaan dimana lagu Malaysia jangan dipandang enteng. Sebenarnya kita ada peluang memperbesarkan karya kita di persada dunia
"Alhamdulillah, Siti kongsi rezeki dengan saya dan Ezra Kong selaku penggubah bersama lagu ini. Terima kasih," katanya.
Bangga dengan Siti
Berkongsi lanjut mengenai perkara itu, Hael tidak menafikan nama besar seperti penyanyi kesayangan negara itu menjadi pendorong karya tersebut mendapat tempat di hati Raja Charles III.
"Saya percaya tetapi nak kesahihan terpaksa buka Apple Music sebab nak rasa penangan. Bila dia sebut nama Siti, Ya Allah bangganya sebagai rakyat Malaysia.
"Sebenarnya yang sebaris penyanyi antarabangsa ialah Siti. Kami di belakang hanya sebagai pendukung.
"Lagu itu sendiri rasa hasil kerjasama kami. Tanpa Siti kami tidak sampai situ," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Anta Permana Tersenarai Dalam 'The King’s Music Room', Lagu Pilihan Raja Charles III
ARTIKEL BERKAITAN:“Tak Perlu Segan Untuk Minta Maaf & Mengaku Khilaf” - Siti Nurhaliza
ARTIKEL BERKAITAN:Cover Ringkas “Bukan Lagi Kita” Siti Nurhaliza Bikin Netizen Tak Keruan - “Tergamak Tokti Nyanyi Sikit…”
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Nurhaliza Kongsi Pengalaman Menginap Di Hotel Atlantis The Royal Dubai, Siap Beri Tips Melancong – “Iya Saya Book Sendiri”
ARTIKEL BERKAITAN:Hael Husaini Bakal Cipta Lagu Baharu Untuk Siti Nurhaliza - "Siapa Nak Tolak Kalau Biduanita Minta Lagu"
Senarai lagu tersebut telah dikumpulkan menerusi platform Apple Music dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist.
Nama Siti Nurhaliza turut disenaraikan bersama penyanyi antarabangsa seperti Bob Marley, Diana Ross, Beyoncé serta Michael Bublé.
Anta Permana yang dilancarkan pada tahun 2018 membuat kemunculan pada minit ke-43 dalam 17 senarai lagu yang dipilih sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel
Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham, memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi Raja Charles III.