Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Hafiz Suip Bercumbu Dalam Muzik Video? Memang ‘Trend’ Ke Sekarang?

Fiza Kamarudin
19/04/2019 03:30 MYT
Baru-baru ini penyanyi Shiha Zikir mencetus kontroversi apabila didakwa menggunakan model separuh bogel dalam muzik video, 'Pipiyama'.

Kali ini, penyanyi Hafiz Suip pula tampil berani bercumbu mesra bersama seorang wanita di tepian pantai dalam muzik video single terbaharu ‘Kisah Cinta Kita’.

Penyanyi berstatus suami dan bapa itu didakwa tidak segan silu memberikan kucupan romantis kepada wanita tersebut ketika menjalani penggambaran di Pulau Redang, Terangganu, baru-baru ini.

Agaknya, memang sudah ‘trend’ sekarang mencetus kontroversi dalam muzik video untuk ‘menarik’ penonton ya?

Tapi tak apa, sama-sama kita tunggu dan lihat sejauh mana kebenaran dakwaan itu dan mengapa Hafiz berani serta sanggup melakonkan adegan mesra tersebut?

Temui jawapannya dengan menyaksikan video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’, arahan Khairul Hazwan yang boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos bermula pukul 8 malam ini.

Dalam pada itu, Hafiz sempat mengulas mengenai muzik video tersebut.

“Sebagai lagu runut bunyi yang melatari drama ‘Dia Menantu Rahsia’, pastinya lagu ‘Kisah Cinta Kita’ ini tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan penceritaan visual dalam plot drama tersebut.

“Saya dan ‘team’ produksi cuba mengambil pendekatan yang lebih universal dalam video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’.

“Rata-rata peminat mempunyai terjemahan tersendiri dalam mendalami maksud sesebuah lagu itu. Apa yang kami cuba paparkan dalam video muzik rasmi ‘Kisah Cinta Kita’ adalah penceritaan sebuah kisah cinta yang relevan dengan sesiapa pun,” katanya.

Mengulas tentang keputusan untuk kembali mendendangkan irama balada selepas bereksperimentasi dengan lagu berentak rancak, Hafiz berkata, walaupun reaksi peminat ketika itu bercampur baur, namun berjaya menarik perhatian pendengar generasi baru.

“Apabila Nova Music menawarkan kepada saya untuk menyanyikan lagu ‘Kisah Cinta Kita’, saya ambil peluang ini untuk mengubati rindu peminat yang memang menantikan saya kembali menyanyikan lagu balada.

“Namun begitu, taruhan saya kali ini bukan sebarang lagu balada. Ia tetap menawarkan kelainan daripada lagu balada saya yang sebelumnya.

“Kalau dulu saya mungkin sinonim dengan lagu balada yang mendayu-dayu dengan unsur kesedihan, tetapi kali ini saya membawakan lagu pop balada yang penuh dengan rasa bahagia pula,” katanya.

Single “Kisah Cinta Kita”, taruhan terbaru Hafiz yang berentak balada sudah pun menemui pendengar sejak 8 Mac lalu.

‘Kisah Cinta Kita’ merupakan hasil gubahan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali manakala lirik pula ditulis oleh Datuk A. Aida yang juga penerbit drama ‘Dia Menantu Rahsia’.

‘Kisah Cinta Kita’ merupakan single pertama Hafiz di bawah naungan syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn Bhd.
#Hafiz Suip #bercumbu
;