Sukan
Hafizh Syahrin Puji Shuib, Bakar Semangat Nak Cuba Sukan Lumba Motor Pula!
Jaguh motosikal bertaraf dunia, Hafizh Syahrin mengucapkan tahniah kepada Shuib atas kejayaannya pada siri perlumbaan di Sepang 1,000 km Endurance Race baru-baru ini.
Shuib ketika berkongsi perkara itu berkata, dia tidak menyangka penunggang motosikal yang pernah mengharumkan nama negara pada kejohanan Moto GP antarabangsa, mengikuti perkembangannya dan menyokong penyertaan kali pertama.
"Saya terkejut dan terharu, Hafizh nama besar dalam arena racing ini dan dia pula rupanya ikuti percubaan pertama saya dalam perlumbaan kereta ini anjuran Toyota Gazoo Racing.
"Memang bagi semangat betul, berkobar-kobar nak berlumba lagi, lagi best kalau dapat cuba motosikal pula dengan Hafihz," katanya.
Hafizh pada muat naik yang dikongsi Shuib di laman Instagramnya baru-baru ini mengucapkan tahniah atas kejayaan pelakon dan pelawak itu mendapat tempat ketiga pada perlumbaan di Sepang.
Berkongsi pengalaman pertamanya sebagai pelumba kereta, Shuib berkata, dirinya memang teruja kerana minat dalam bidang itu sejak kecil.
"Saya ingin berterima kasih kepada 23 Motor yang membawa saya pada perlumbaan kali ini dan menjadikan impian saya satu kenyataan.
"Juga syarikat saya HJ Motor dan pasukan yang sama-sama jayakan perlumbaan saya kali ini," katanya.
Shuib berkata, pengalaman berlumba kereta itu memberikan kepuasan kepadanya dan mengajar beliau untuk fokus dalam melakukan sesuatu.
Tambahnya, dengan berlumba kereta dapat menghilangkan tekanan dan bebanan tugas seharian.
"Apa yang penting berlumba dengan saluran yang betul serta sentiasa pastikan keselamatan terjamin," katanya.
Must-Watch Video