Hiburan
Hafizul Kamal Cedera, Kuku Ibu Jari Kaki Tercabut
Pelakon drama bersiri Papa Ricky, Hafizul Kamal terpaksa menahan sakit apabila kuku ibu jari kaki kanannya tercabut sepenuhnya.
Perkara itu diberitahu sendiri oleh Hafizul yang memegang watak sebagai Dr. Gibran menerusi satu video yang dimuatnaik di akaun Instagram (IG) semalam.
Video tersebut menunjukkan sehelai tisu dilapik di bahagian bawah kakinya manakala ibu jarinya pula dipenuhi darah.
Hafizul juga sempat menunjukkan kuku yang tercabut sebagai bukti kepada pengikut IGnya.
Menurut kapsyen, Hafizul menyatakan kecederaan itu berlaku ketika dia berada di set penggambaran Papa Ricky.
“Ni betul2 bukan cobaan.. on set #paparicky #shithappens #gibran injured,” tulisnya.
Sementara itu, menerusi ruangan komen rata-rata pengikutnya meluahkan rasa ngilu sebaik sahaja melihat video berdurasi 16 saat tersebut dan mendoakan pelakon berusia 30 tahun itu kembali pulih.
Selain Hafizul Kamal, drama tersebut turut menampilkan Fadlan Hazim, Siti Elizad dan Ewal.
Papa Ricky bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).
Teks oleh: Mya Amri