Seorang gadis mencuri tumpuan wargamaya di laman Twitter apabila berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 25kg dalam masa empat bulan.

Bagi Brigita Raissa, 19, dia mula mendapat kesedaran untuk menurunkan berat badan selepas mengalami masalah haid tidak teratur, wajah dipenuhi jerawat dan nafsu makan yang berlebihan.

“Segalanya bermula selepas saya pulang daripada percutian keluarga di Jogjakarta, berat saya naik mendadak sehingga 105kg. Pada waktu itu saya tidak datang haid selama tiga bulan, muka breakout teruk dan boleh makan dalam lima ke tujuh kali sehari.



“Pada waktu, banyak pakaian saya yang dah sendat sebab perut buncit dan mula mendapat kesedaran untuk menurunkan berat badan.

“Pertama sekali saya mengamalkan kaedah kalori defisit dimana badan saya membakar kalori yang lebih banyak berbanding kalori yang saya makan. Saya muat turun aplikasi Myfitnesspall untuk catat segala pengambilan kalori.

“Dari situ saya pelan-pelan beri komitmen untuk tukar gaya hidup sihat. Setiap hari saya akan makan daging dan sayur salad serta catat pengambilan kalori,” kata Rai ketika dihubungi Gempak.



Dengan mengamalkan kaedah itu selama dua minggu, dia sudah mula melihat perubahan positif apabila beratnya turun menjadi 98kg.

Walaupun beratnya berkurang sebanyak 7kg tanpa melakukan sebarang senaman, dia tekad merebut peluang untuk turun lebih cepat dengan mengamalkan aktiviti berbasikal.

“Di rumah saya ada basikal yang berhabuk kerana sudah lama tak digunakan. Saya lap bersih-bersih kemudian saya naik. Pertama kali naik, 10 minit je kaki saya tak kuat.

“Tapi saya tetap naik setiap hari, lama-lama saya jadi kuat dan mampu berbasikal selama satu jam tanpa henti.



“Jadi saya berhasil turun sebanyak 25kg dalam masa empat bulan dengan kaedah kalori defisit dan aktiviti berbasikal, waktu itu saya dalam 78kg dan mula memasuki dunia kolej,” ujarnya.

Tambah anak kelahiran Jakarta ini lagi, tahun 2019 hingga awal 2020 dia sudah mula mengamalkan cara hidup sihat dan beratnya berjaya turun sehingga 70kg.

“Saya dah lali diketawakan kerana berat badan tapi tak pernah ambil pusing. Motivasi terbesar saya adalah untuk menjaga kesihatan diri sendiri kerana kadang-kala dada saya jadi sesak dan wajah berminyak dan naik jerawat.

“Untuk sekarang saya makan apa sahaja yang saya mahu tapi saya buat kalori defisit. Cara ini mungkin memberikan kesan yang berbeza pada setiap individu. Tapi apa-apa pun, saya bukan jurulatih atau pakar pemakanan jadi mungkin ada kekurangan dalam cara untuk saya kurus,” katanya di akhir bicara.



Lihat sahaja perubahan fizikal Rai dari dulu hingga sekarang, semoga perkongsian ini boleh memberi manfaat kepada sesiapa yang sedang berperang dengan masalah berat badan.