“Hak Majoriti Perlu Dilindungi” - Alamak! Adakah Anti Vaksin Punca Masjid Selangor Tak Dapat Buka Sepenuhnya?
Langkah kerajaan mengumumkan kelonggaran kepada lebih banyak sektor ternyata memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa Malaysia berada di landasan tepat ke arah pemulihan penuh daripada ancaman pandemik COVID-19.
Namun, tidak semua perkara yang telah diberi kelonggaran sepenuhnya dan antara yang menjadi perbincangan ramai adalah kelonggaran kapasiti masjid khususnya di Selangor.
Malah, menerusi pemantauan Gempak di platform media sosial, ada saja pihak yang membanding-bandingkan kepadatan pengunjung di pusat membeli belah dengan situasi di masjid.
Perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan, bilakah masjid akan dibuka sepenuhnya.
Terbaru, persoalan itu akhirnya dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud.
Menurutnya, keengganan segelintir masyarakat Islam menerima vaksin COVID-19 menyukarkan pihak berkuasa membenarkan pembukaan sepenuhnya masjid-masjid di Selangor.
Menurutnya, sehingga semalam masih ada ahli masjid yang tidak mahu divaksin menyebabkan kelulusan sepenuhnya untuk membuka semula masjid-masjid belum dapat dipenuhi.
“Perkara ini sudah pasti sangat menyedihkan. Walaupun golongan yang menolak vaksin mengatakan perkara tersebut adalah hak mereka, hak majoriti juga perlu dilindungi.
"Saya rasa sudah cukuplah media sosial menguar-uarkan perkara yang tidak berasas mengenai vaksin COVID-19 yang telah menyebabkan banyak program tertunda," katanya kepada Bernama.
Sekadar info, media hari ini melaporkan hanya 20 peratus daripada 146 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar yang hadir program vaksinasi abatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk dos pertama.
Menurut Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, jumlah sebenar mereka yang diarahkan hadir dalam program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu adalah 872 orang.
Susulan itu, beliau berkata JAIS dijangka mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini untuk tindakan lanjut.