HIBURAN

Halim & Kmy Kmo Tampil Dengan 'Layar Boneka', Lagu Sarat Emosi, Sindiran & Perjuangan Diri

Gempak 06/07/2025 | 09:55 MYT
Menyatu dua dunia seni yang berbeza, penyanyi Halim dan rapper berpengaruh Kmy Kmo bergabung dalam sebuah kolaborasi istimewa menerusi single berjudul “Layar Boneka”.

Lagu ciptaan Kmy Kmo dan HMstatenine ini bukan sekadar karya muzik biasa, sebaliknya hadir sebagai teguran halus yang berlapik seni terhadap realiti masyarakat hari ini.

"Kami mahu bersuara, kami bukan sekadar mahu nyanyi," kata Halim dan Kmy Kmo sepakat.

Kmy Kmo, yang dikenali dengan gaya rap penuh isi dan lirik yang sarat mesej, menjadi tulang belakang kepada karya ini, manakala Halim, seorang penyanyi versatil dan usahawan kreatif, memberikan suntikan emosi dan jiwa kepada lagu yang menekankan tema perjuangan, keberanian dan harga diri.

Menurut Halim, beliau terpanggil untuk bergandingan dengan Kmy Kmo setelah melihat potensi serta nuansa nusantara dalam karya rapper tersebut.

“Saya terpanggil untuk berduet dengan Kmy Kmo kerana saya memandang beliau mempunyai ciri penyanyi rapper yang versatil serta ada elemen muzik nusantara. Kebetulan saya memang meminati muzik Kmy. Walaupun saya minat pelbagai genre seperti slow rock, pop balada dan hip hop, saya lebih menyukai hip hop,” jelas Halim.

Pertemuan mereka bermula di set penggambaran program TV "Manhajj Mutawiff" terbitan syarikat milik Halim untuk Astro Oasis, di mana Kmy Kmo terlibat dalam penghasilan lagu tema. Dari situ, semangat untuk menghasilkan lagu bersama mula terbit dan “Layar Boneka” pun lahir sebagai simbol perjuangan suara mereka.

Lagu ini membawa mesej mendalam tentang bangkit dari fitnah dan tekanan, serta menyeru agar masyarakat tidak terus menjadi boneka dalam arus kecaman dan manipulasi. Gabungan genre hip hop, pop moden dan balada kontemporari Melayu menjadikan lagu ini kaya dengan emosi dan kekuatan sonik yang tersendiri.

“Lagu ini untuk mereka yang diam terlalu lama kerana nista yang menyesakkan. Sudah tiba masa untuk kita ratakan semuanya,” ujar Halim.

Dalam masa sama, Kmy Kmo turut mengakui teruja dapat bekerjasama dengan Halim, yang menurutnya mempunyai vokal unik dan semangat tinggi untuk meneroka dunia muzik.

“Saya mula sedar Halim ada keunikan suara tersendiri, sangat sesuai dengan genre rock kapak atau rock Melayu. Dia sahabat yang berbudi pekerti, ikhlas untuk belajar, dan berani mencabar diri,” kata Kmy.

Dengan pengedaran digital oleh Luncai Emas, “Layar Boneka” kini boleh didengari di semua platform digital termasuk YouTube rasmi Luncai Emas.

Audio dan muzik video rasmi lagu ini sudah dilancarkan dan menerima reaksi positif daripada peminat yang menghargai gabungan emosi dan lirik yang menyentuh jiwa.
#Viral #Lagu #Kmy Kmo #Layar Boneka