HIBURAN
Halim Othman Syukur Mampu Jalani Hidup Selesa Selepas Bersara - "Saya Tidak Ada Dalam..."
Bekas penyampai radio terkenal, Halim Othman mengakui kemewahan yang dinikmatinya hari ini adalah hasil daripada simpanan hari tua yang dikumpul sebelum bersara daripada dunia penyiaran.
Kongsi Halim, walaupun dirinya kini jarang muncul di mana-mana program dia tetap bersyukur kerana tidak berada dalam keadaan terdesak dari segi kewangan.
"Saya ada sedikit simpanan untuk hari tua. Jadi, saya tidak berada dalam kecemasan. Tetapi ya, memang seronok kalau masih boleh bekerja, lebih-lebih lagi jika kita buat sesuatu yang kita suka dan menjadi minat kita.
“Itu juga memberikan saya sedikit pendapatan,” katanya kepada Gempak.
Halim Othman berkata demikian ketika menghadiri majlis Anugerah Golden Award 2024 yang berlangsung di Galaxy Banquet baru-baru ini.
Tambahnya, pada usia kini, dia lebih selektif dalam memilih kerja dan hanya terlibat dalam projek yang menyeronokkan serta memberi kepuasan peribadi.
“Bukan nak kata saya tidak bekerja langsung tapi saya tidak bekerja keras. Saya hanya membuat kerja yang menyeronokkan sahaja,” jelasnya.
Sementara itu, bekas penyampai radio yang berusia 60 tahun turut berkongsi hasratnya untuk menulis buku yang berkisahkan tentang pengalaman dan ilmu tentang dunia penyiaran.
“Sebenarnya, saya ingin menulis tentang pengalaman saya dalam dunia penyiaran tetapi nak menulis ini bukanlah satu perkara yang mudah. Kita sudah biasa bercakap tapi bila nak menulis sedikit susah untuk saya.
“Jadi, itu adalah cabaran baharu untuk saya,” kongsinya.