VIRAL

Haliza Maysuri Sarung Tudung RM70,000 Simbolik Menang Saman Fitnah! - "Hanya Ada Satu Saja Dalam Dunia Ni"

Amri Hassan 24/06/2025 | 00:55 MYT
Usahawan dan pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri menghasilkan tudung bawal bertatahkan batu Swarovski bernilai RM70,000 sebagai simbolik kemenangan saman fitnahnya terhadap seorang bekas reseller produknya baru-baru ini.
Jelas Haliza, 47, penghasilan tudung itu umpama menjulang semula jenama Bawal Exclusive selepas berdepan dengan fitnah tidak berasas di media sosial sebelum ini.
Kata Haliza lagi, rakyat Malaysia sepatutnya bangga dengan kejayaan yang dibina oleh jenama BE kerana mampu menjalinkan hubungan baik dengan syarikat luar negara.
"Jenama ini dibina dengan peluh air mata, dengan kesusahan tiada modal dan pendidikan tapi rakyat Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan kami.
"Jenama swarovski mencari kami dan meletakkan kami sebagai branding rakan kongsi sehingga kami menjadi 10 teratas di syarikat itu.
"Saya tak minta dipuji atau dihargai, cuma dalam perniagaan saya memang fokus. Jangan dijolok sarang tebuan!" luahnya.
Terdahulu, Haliza menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates memenangi saman fitnah terhadap bekas pengedarnya, Rosmaliza Mansor, selepas Mahkamah Sesyen Kota Bharu mendapati Rosmaliza memuat naik kenyataan berunsur fitnah di Facebook.
Mahkamah mengarahkan Rosmaliza membayar ganti rugi RM70,000 serta baki hutang RM570 kepada syarikat Bawal Sdn. Bhd.
Rosmaliza sebelum ini mempersoalkan strategi pemasaran syarikat dan menuduh ketidakadilan terhadap para pengedar. Bagaimanapun, Rosmaliza tidak hadir ke mahkamah walaupun diserahkan dokumen lengkap. Pada 1 Januari 2025, mahkamah turut mengarahkannya memadam kenyataan fitnah dan tidak mengulanginya.
Bawal Exclusive menegaskan tindakan undang-undang ini diambil demi menjaga reputasi syarikat yang dibina sejak 1998 dan sebagai pengajaran agar tidak menyebar fitnah di media sosial.
#Viral #Tudung #Mahkamah #Bawal Exclusive #Haliza Maysuri