Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Hamil, Kelly Osbourne Tidak Akan Menyusukan Anak

Maliah Surip
02/10/2022 11:44 MYT
Bintang Hollywood, Kelly Osbourne kini hamil. Kehamilannya sudah memasuki fasa ketiga.

Dalam program bual bicara Red Table Talk, Kelly berbicara mengenai pengalaman pertamanya hamil hasil hubungan bersama pasangannya, anggota Slipknot, Sid Wilson.

Dia mengaku melalui sebuah pengalaman yang luar biasa dan sukar diungkapkan.

Namun, satu yang pasti, kata bakal ibu ini, dia sudah membuat keputusan untuk tidak memberi susu badan kepada calon anak sulungnya itu.

“Saya tidak akan memberi susu badan kepadanya. Ia akan menjadi sebuah keputusan yang baik buat kami berdua," katanya seperti dilaporkan Page Six.

Kelly kemudian mengatakan keputusan untuk tidak memberi susu badan kepada calon anaknya menerima pelbagai pandangan dalam kalangan keluarga dan sahabatnya.

“Mereka rasa keputusan saya tidak betul. Saya akan kehilangan salah satu momen terbaik bersama bayi saya,” akuinya.

Namun kata Kelly, dia tidak mahu ‘hidup’ di atas pandangan orang lain kerana sedar dan bertanggungjawab dengan keputusan yang diambil.

Apalagi keputusan untuk tidak menyusu badan kepada calon anaknya bukan diambil secara suka suka.

“Saya memilih untuk kekal dalam perubatan berbanding menyusu badan untuk anak. Walaupun saya menerima banyak kriitikan, tapi adakah anda fikir saya tidak sedar akan tindakan ini?

“Tapi saya tak mahu menyesal dan saya akan kekal dengan keputusan ini kerana ini yang terbaik buat kami,” jelasnya lagi.

Wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak menjelaskan penyakit yang dideritai. Namun dalam temubual sama, Kelly mengatakan dia diserang kencing manis selepas memasuki fasa ketiga kehamilan.

#Hollywood #Hamil #Susu #Kelly Osbourne
;