Hampir 400 Orang Hadiri Showcase, Amylea & Kaer Puas Hati Penonton Enjoy

Kamaruddin Razal
Ogos 28, 2018 14:18 MYT
Pasangan duet yang popular menerusi lagu Tak Pernah Hilang, Amylea Azizan dan Kaer Azami berpuas hati apabila penonton pulang dengan senyuman selepas menghadiri showcase mereka Ahad lalu.
Menerusi Amylea x Kaer Chapter Three Showcase yang diadakan di The Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, hampir 400 penonton membanjiri ruang acara untuk menyaksikan persembahan mereka.
"Alhamdulillah, apabila showcase selesai, perasaan itu sukar untuk digambarkan.
"Kami berbesar hati apabila peminat pulang dengan senyuman dan bergembira di showcase kami," kata Kaer.
Tambah Amylea, mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa rintangan sebelum berjaya melunaskan showcase ini.
"Halangan yang kami tempuhi membuatkan kami lebih serasi dan belajar lebih banyak tentang diri masing-masing.
"Keadaan kesihatan Kaer yang demam seminggu sebelum showcase serta tercetusnya pergaduhan kecil kerana mahu memilih lagu sesuai merupakan dugaan yang dihadapi.
"Tetapi, kami berselisih faham sekejap sahaja. Apabila ia selesai, kami terus 'move on' kerana mahu memberikan yang terbaik untuk semua yang hadir," kata Amylea.
Di acara tersebut, mereka menyampaikan rangkaian lagu popular mereka seperti Izinku Pergi, Menjelma, Aku Sindarela, Ku Berserah dan banyak lagi.
Mereka juga turut menyanyikan lagu cover seperti Januari, My Boo, Manusia Kuat dan Sinaran.
Lagu Tak Akan Hilang pula mendapat sorakan yang paling gemuruh oleh semua peminat yang sememangnya menantikan persembahan tersebut.
Showcase itu turut diserikan persembahan artis jemputan, Amir Hassan dan Indah Ruhaila.
#Penyanyi #Penyanyi #Amylea Azizan #Kaer Azami