Lapan tahun mencuba nasib menyertai 50 ujibakat program realiti, Afif Hafizzudin akhirnya dinobatkan sebagai juara pertandingan mencari bakat digital baharu, ERA-fluencer.

Afif, 32, mengakui kemenangan yang diraih dalam pertandingan kali ini ibarat magis selepas berpenat lelah dan berkorban duit, masa dan harapan.

"Daripada seribu penyertaan aku dapat jadi 10 yang terbaik. Hari demi hari aku berjuang dan hari ini mereka telah umum kemenangan aku.

"Untuk pengatahuan anda. Pada 2013 sampai lah 2021, apa ujibakat program realiti yang ada dekat Malaysia ini semua aku cuba nasib. Hampir 50 ujibakat sudah aku lalui. Duit, masa, dan harapan semuanya musnah begitu sahaja.

"Tapi siapa sangka kejayaan itu datang pada hari ini. Sungguh ajaib. Aku telah dapat wang tunai RM2,000 dan kontrak bekerja dengan ERA selama enam bulan. Alhamdulillah.

"Kejayaan akan tiba kalau kita tetap usaha. Jangan pernah berhenti. Percaya pada rezeki dan kena ambik risiko. Terima kasih kepada yang mendoakannya. Jasa anda hanya Allah saja dapat balas," katanya menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini.

A post shared by Damak Adi Putra (@the__fif)


ERA-fluencer merupakan pertandingan mencari bakat digital baharu menerusi penyertaan yang dijalankan dari 6 hingga 13 Disember, di Instagram dan TikTok ERA.

Setelah menjalani cabaran dan tugasan selama dua minggu, Afif Hafizuddin (32 tahun) dinobatkan sebagai juara ‘ERA-fluencer’, dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2000, produk Win-Win serta menerima kontrak bersama pasukan digital ERA.

Empat finalis lain: Ashraf Chan (20 tahun), Hilmi (31 tahun), Nura Ezzatie (28 tahun) dan Sofwan Roos (28 tahun), masing-masing menerima hadiah saguhati berupa wang tunai sebanyak RM500. Kesemua finalis akhir juga diuji dengan kemahiran dan bakat dalam bidang pengacaraan, penghasilan video serta penyuntingan kandungan digital yang boleh disaksikan di laman media sosial ERA.

Penjurian akhir ‘ERA-fluencer’ turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Floor 88, kumpulan muzik tempatan yang disaksikan secara langsung pada 29 Disember menerusi Facebook dan YouTube Live ERA.

Untuk maklumat lanjut, layari era.je atau ikuti ERA di platform media sosial.