Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana, 37, menyatakan dia tidak mengalami sebarang simptom yang teruk selepas menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (​PPV) Universiti Malaya (UM) pada Selasa.

Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana berkata dia hanya mengalami sakit badan dan pening kepala namun tidak berlanjutan hingga ke demam.

"Saya tidak mengalami simptom yang teruk tapi biasa la, ada rasa pening, sengal-sengal badan, otot dan tempat yang dicucuk itu ada rasa sakit juga.

"Badan pun lemau, penat dan rasa nak mengantuk... simptom yang normal kalau terima suntikan. Malam selepas ambil vaksin, ada rasa nak demam tapi tak demam pun.

"Hari ini, hari keempat dah rasa okey, hanya tinggal bisa sikit. Panadol saya ada makan tapi waktu sakit saja la. Waktu tak sakit, tak ada la saya makan. Ikut badan masing-masing," katanya.

Tambah pelakon drama Satukan Rasa, dia mengakui pernah berasa bimbang selepas membaca berita tidak sahih mengenai vaksin tersebut.

Bagaimanapun, dia memohon agar orang ramai tidak mudah percaya serta melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan diri.

"Sebenarnya saya pun sebelum ini takut juga nak ambil vaksin sebab dengar cerita yang bukan-bukan.

"Tapi kepada mereka yang takut itu, jangan dengar cakap orang terutama berita atau cerita tidak sahih.

"Nak lagi puas hati, tanya dan lakukan pemeriksaan kesihatan dengan doktor terlebih dahulu. Kita pun tahu kondisi diri macam mana," kata Nana.

Dalam pada itu, pelantun lagu Angkara mengingatkan agar tidak mensia-siakan peluang jika mendapat temu janji vaksinasi.

"Alhamdulillah, saya pun pergi bila dah dapat peluang sebab ramai nak vaksin ini.

"Bila dapat peluang, jangan sia-siakan. Bapa saya pun dah vaksin manakala ibu saya pun akan ambil esok. Semua keluarga saya, alhamdulillah dapat vaksin.

"Jadi, janganlah rasa takut... niat kerana Allah kerana kita buat ini untuk kebaikan diri, keluarga dan orang sekeliling serta negara," katanya lagi.

Sebelum ini, Nana berkongsi rakaman video ketika mengambil suntikan vaksin AstraZeneca di laman Instagram (IG) miliknya.

"Okey throwback masa ambil vaksin haritu. Jadi Nana kongsi sikit la dengan korang. Mana tau dapat meredakan gementar korang yang baru nak ambil vaksin tu," tulisnya.