Bulan Ramadan membuka hati usahawan kosmetik Hana Azraa untuk menerima semula suaminya yang juga pendakwah bebas, PU Abu dan hubungan mereka juga kembali baik.

Hana ketika dihubungi Gempak mengesahkan dia dan PU Abu sudah berbaik dan kembali menjalani kehidupan sebagai suami isteri namun enggan berkongsi lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Alhamdulillah, ya saya sudah berbaik semula dengan PU Abu. Nak masuk bulan Ramadan adalah turning point saya pilih untuk berbaik dengan dia selepas hampir setahun juga sebenarnya lost contact.

“Saya jadi trauma sebenarnya nak kongsi lebih-lebih sebab banyak hati nak kena jaga. Apa-apa pun, saya harapkan semua orang mendoakan yang baik-baik,” katanya kepada Gempak.

Terdahulu, Hana menerusi hantaran terbaharu di Instagram Stories (IG Story) miliknya dilihat sudah kembali berbaik dengan pendakwah itu.

Menerusi perkongsian tersebut, Hana memuat naik satu video pendek yang menyaksikan dia bersama Abu berserta kapsyen dirinya tidak sabar untuk berjumpa dengan suaminya itu.

"Ada orang tu (PU Abu) tak jadi balik esok, sobs (sedih). Tapi tak apa lah, jumpa awak nanti ok,” tulisnya.

Sebelum ini, Hana pernah mendedahkan dirinya masih diganggu oleh Abu meskipun mereka sudah lama berpisah selain pendawak itu turut menganggu beberapa ahli keluarganya sehingga mencabar kesabarannya.

Nama Hana pernah menjadi hangat dan dikecam hebat warga maya apabila dia berkahwin dengan Abu sebagai isteri kedua pada Mei 2019, sekali gus menjadi 'orang ketiga' dalam rumah tangga Abu dan isterinya, Ain Afini sehingga berantakan.

Bagaimanapun, Hana dan Abu mengesahkan mereka sudah berpisah pada April 2020 dan masih menunggu proses perceraian di mahkamah.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Uwais Al-Mateen yang kini berusia tiga tahun manakala Hana juga mempunyai anak perempuan Afifah Aisyah, 7, hasil perkahwinan terdahulu.

PU Abu juga mempunyai tiga cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya dengan Ain Afini.

ARTIKEL BERKAITAN: Hana Azraa Dedah Mesej PU Abu Luah Rasa Rindu, Mohon Berhenti Jadi ‘Selfish’ - “Saya Masih Ingat Pada Hari Kamu Manipulasi…”