Setiap perhubungan yang terjalin, pasti mengimpikan pengakhiran dengan sebuah ikatan suci.

Begitupun tidak dapat dinafikan banyak dugaan yang perlu ditempuhi lebih-lebih lagi ketika melalui tempoh bertunang.

Apatah lagi, bagi mereka yang terpaksa menjalin hubungan secara jarak jauh, sudah pasti banyak cabarannya.

Begitu jugalah yang dilalui oleh jejaka bernama Zuhaily Razali yang berkongsi episod putus tunangnya bersama wanita yang mahu dijadikan peneman sehidup sematinya.

Berkongsi kisah sedih di Twitter, menurut Zuhaily, dia cuba mempertahankan hubungan tersebut, namun mendakwa pasangannya itu tetap dengan keputusan untuk berpisah.

"30 September saya memandu dari Melaka ke Kedah jumpa awak untuk berbincang perbaiki hubungan kita tapi awak masih nak putuskan pertunangan ini.

"Awak gagal pulangkan cincin, awak kata awak dah jual dan bagi masa untuk pulangkan balik dalam bentuk nilai mengikut harga cincin itu," luahnya menerusi satu bebenang yang di akaun Twitternya @zuhailurazali_

Luahan itu kemudian menerima lebih 23,000 kali ulang kicau dan lebih 23,000 tanda suka.
Cerita Zuhairy lagi, lebih mengecewakan apabila bekas tunangnya itu mengakui sudah mempunyai insan lain yang berjaya menawan hatinya.

"Keesokan harinya, awak mengaku awak dah ada buah hati baru atas alasan lelaki tu pandai ambil hati awak.

"Hancur hati saya tahu semua ni, tapi saya cuba kuat move on perlahan-lahan," coretnya.

Bahkan, sehingga ke hari ini, dakwanya, tiada permohonan maaf diterima daripada bekas tunangnya itu.

Lebih terkilan, tindakannya itu juga seolah-olah tidak menghormati adat.

"Sehari selepas saya balik jumpa awak tu, setiap malam screenshot gambar awak buat panggilan video dengan teman lelaki baru awak tu dengan kapsyen sweet," katanya.



Katanya, dia juga sudah memberikan tempoh sehingga hujung bulan ini untuk bekas tunanganya itu memulangkan segala barangan yang diberikan ketika bertunang.

"Bila saya tengok awak dah mula keluar dengan teman lelaki baru awak sampai ke Cameron Highlands, jadi saya anggap awak dah cukup untuk pulangkan semua barang sewaktu bertunang hari tu.

"Saya tunggu sehingga 30/10 untuk awak pulangkan barang sewaktu bertunang dan tuntutan maaf awak terhadap keluarga saya. Saya perlukan pembelaan yang betul, bukan dengan cara menindas macam ini," katanya.

Bagaimanapun, di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk terus bersabar dengan segala dugaan yang menimpanya.





Dalam pada itu, Gempak cuba menghubungi Zuhaily, namun, pesanan mesej yang dikirim menerusi akaun media sosialnya masih belum berjawab.

Apapun, yakinlah setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmah di sebaliknya!


Foto: Twitter Zuhaily Razali