Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan tidak menerima bayaran Elaun Diraja selama enam bulan bermula April ini.

Menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata Tengku Hassanal berkenan menitahkan supaya Elaun Diraja itu disumbangkan ke Tabung COVID-19 Pahang.

Menurutnya, baginda berharap bantuan yang dicadangkan dan diluluskan dengan menggunakan Tabung COVID-19 Pahang dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan dengan segera.

"Tengku Hassanal juga menitahkan supaya rakyat Pahang sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Baginda juga mendoakan pesakit COVID-19 di seluruh Malaysia khasnya di Pahang diberikan kesembuhan dengan segera dan semua petugas barisan hadapan diberikan kekuatan serta kesihatan yang baik untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka," katanya.

Untuk makluman, tindakan Tengku Hassanal itu mengikut langkah ayahanda dan bonda baginda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos.

Sementara itu, menerusi platform Twitter, kebanyakan orang ramai mengagumi usaha murni yang dilakukan kerabat diraja Pahang.

Anda boleh lihat pujian tersebut di bawah.