Laman Utama

Hannah Delisha Akui Salah Sentuh Pelakon Lelaki Dalam Drama; “Saya Hanya Melakukan Tanggungjawab Sebagai…”

gempak
Shahrin Zulkifle
05/03/2023
03:00 MYT
Sponsor Banner
Hannah Delisha Akui Salah Sentuh Pelakon Lelaki Dalam Drama; “Saya Hanya Melakukan Tanggungjawab Sebagai…”

Pelakon Hannah Delisha akui tindakannya melakonkan babak bersentuhan dengan gandingan lelaki bukan mahram adalah salah, apatah lagi dengan imejnya yang kini sudah berhijab.

Jelas Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, dia tidak dapat mengelak perkara tersebut memandangkan itu sebahagian daripada tuntutan seorang pelakon

“Hannah tahu untuk berhijab ini merupakan keputusan yang saya ambil beberapa tahun lalu. Saya juga sedar akan perkara yang sentuh menyentuh dengan pelakon lelaki.

“Memang apa yang saya buat iaitu memegang pelakon lelaki adalah salah, saya tahu perkara itu. Tetapi dalam masa sama, ini kerja saya sebagai pelakon. Drama ini perlu banyak babak pukul memukul, jadi agak susah kalau tak pegang. Mesti akan terpegang dan terlepas.

“Saya hanya melakukan tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk bawa watak yang diberikan, saya tahu salah tetapi inilah kerja saya,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama Andai Itu Takdirnya yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Hanya berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai watak Aleeya yang dibawanya dalam drama tersebut yang menuntut dia melakukan banyak adegan bersentuhan dan bergaduh dengan gandinganya iaitu Shukri Yahaya.

Berkongsi lanjut mengenai watak Aleeya, aktres berusia 27 tahun itu berkata ada beberapa babak yang mencabar untuk dia lakonkan termasuk babak ketika dalam hujan dan babak dipukul.

“Ada satu babak di mana saya diminta untuk jatuh berkali-kali di atas lantai sehingga badan saya lebam.

“Babak lain paling mencabar adalah ketika babak hujan. Produksi sampai panggil pihak bomba untuk buat babak tersebut. Dalam keadaan hujan nak kena berdialog lagi. Tapi saya tak nak ulas lanjut nanti spoil pula.

“Selain itu, babak di pukul, di seret lantai antara babak yang mencabar juga buat saya,” kongsinya lagi.

Selain Hannah, Andai Itu Takdirnya turut dibintangi pelakon Shukri Yahaya, Puteri Sarah, Idzham Ismail, Dayang Areeda, Zulkifli Ismail dan ramai lagi.

Sinopsis:

Aleya yang berasal dari keluarga yang sederhana meminati salah seorang rakan kolejnya iaitu Syed Adam Aizril. Syed Aizril dikenali dalam kalangan wanita kerana ketampanannya dan dia juga anak kepada seorang tokoh korporat. Aizril sudah biasa dengan gaya hidup kaya dan sentiasa memandang rendah terhadap orang lain.

Tanpa disangka, berlaku satu kejadian yang menyatukan Syed Aizril dan Aleya. Aleya memulakan kehidupan baharunya sebagai seorang isteri tetapi malangnya Syed Aizril menyeksa hidupnya. Tidak lama selepas itu, Syed Aizril ditimpa kemalangan. Ia mengubah hidupnya dan dia menyesali semua kesalahannya terhadap Aleya.

Perkahwinan Syed Aizril dan Aleya tercabar sekali lagi apabila Syed Aizril jatuh cinta pada Sharifah Emilin yang muncul secara tiba-tiba dalam hidupnya. Janjinya terhadap Aleya mudah dilupakan. Pada ketika ini, perasaan Aleya terhadap Syed Aizril sudah hilang sepenuhnya. Hidupnya kini hancur kerana egonya. Patutkah Aleya beri peluang sekali lagi kepada Syed Aizril?

Saksikan Andai Itu Takdirnya yang akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 6 Mac 2023, jam 10.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live